Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
'Sukan mengajar kita saling menghormati, tak berdendam'
Diterbitkan:  Aug 8, 2024 12:35 PM
Dikemaskini: 4:35 AM

Nilai-nilai yang diterapkan dalam sukan, kata Hannah Yeoh, memerlukan seseorang bersifat saling menghormati serta menghargai persahabatan demi "membina dunia yang lebih aman dan baik".

Kata menteri belia dan sukan itu, dalam sesebuah pertandingan matlamat memenangi pingat bukanlah segala-galanya.

“Saya bukan sekadar menteri sukan. Saya juga menteri belia.

"(Fungsi) Saya bukan tentang memenangi sesuatu pingat semata-mata. Saya di sini untuk menyemai budaya sukan yang sihat untuk belia kita. Kami bukan orang pendendam,” katanya dalam catatan Instagram.

Sebelum ini sesetengah pihak mengecam Yeoh kerana bergambar dengan pemain badminton Thailand, Kunlavut Vitidsarn, semasa mereka bertemu di Paris, Perancis sempena temasya Olimpik kali ini.

Ia tidak disenangi kerana Kunlavut bertanggungjawab menghampakan harapan Malaysia memperolehi sekurang-kurangnya pingat perak dalam temasya berprestij itu.

Kunlavut mengalahkan pemain perseorangan Malaysia, Lee Zii Jia, dalam pertemuan di peringkat separuh akhir pada 5 Ogos lalu.

Kata Yeoh, "Nilai Olimpik" menekankan aspek "saling menghormati dan persahabatan" selain membina dunia yang lebih baik melalui sukan yang bebas daripada diskriminasi.

Sedia raikan pemenang

Bertentangan dengan dakwaan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, Yeoh menafikan tidak sensitif kerana menguar-uarkan dia menjadi peminat Kunlavut.

Kata Yeoh, tiada apa-apa yang tidak sensitif untuk mengakui kekuatan pihak lawan dalam pertandingan sukan.

"Saya melihat betapa tenangnya Kunalvut (baru berusia 23 tahun dan menduduki ranking kelapan ketika itu) apabila menewaskan pemain nombor 1 dunia Shi Yuqi dari China 21-12, 21-10,” katanya.

Ahli Parlimen Segambut itu juga sempat mengirim pesanan untuk belia negara ini agar "berani untuk menyatakan sesuatu yang baik".

"Jika anda sentiasa takut pada komen media sosial, anda terlepas peluang untuk mempamerkan teladan yang baik dengan begitu sahaja.

“Sukan memberi kita pelajaran yang tidak ternilai tentang kehidupan dan inilah sebabnya ibu bapa mesti menggalakkan anak-anak bersukan.

"Mereka (anak-anak yang bersukan) menjadi lebih kuat apabila mengamalkan semangat kesukanan yang baik,” tambahnya.

Yeoh juga telah menekankan "Nilai Olimpik" adalah berkaitan rasa hormat terhadap pihak lawan dan bersaing hanya semasa di dalam gelanggang.

“Apabila pertandingan tamat, selepas menerima pingat, anda meraikan pemenang.

“Semangat kesukanan adalah bagaimana anda menerima kekalahan apabila semuanya adil dan mengiktiraf pencabar anda dengan cara yang terhormat,” tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS