Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Misi Malaysia di Paris 2024 berakhir dengan dua gangsa
Diterbitkan:  Aug 11, 2024 9:10 PM
Dikemaskini: Aug 12, 2024 12:15 AM

Misi Malaysia pada temasya Sukan Olimpik 2024 Paris berakhir hari ini, dengan negara meraih dua pingat gangsa daripada pasukan badminton.

Ini selepas pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom disingkirkan pada final acara keirin lelaki, meskipun menamatkan cabaran di kedudukan keempat, hari ini.

Atlet berusia 28 tahun itu dirempuh pelumba Jepun Shinji Nakano yang menyebabkan pelumba Great Britain Jack Carlin hilang kawalan sekali gus terjatuh, semasa pusingan terakhir di Saint-Quentin-en-Yvelines National Velodrome.

Dua pingat gangsa dimenangi oleh beregu badminton lelaki, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik, serta jaguh perseorangan negara, Lee Zii Jia.

Malaysia menghantar 26 atlet untuk bertanding dalam Sukan Olimpik tahun ini, termasuk bagi acara memanah, olahraga, terjun, golf, perahu layar, menembak, renang dan angkat berat.

Pasukan badminton mempamerkan persembahan terbaik sehingga ke peringkat penentuan gangsa menerusi tiga acara.

Selain Soh, Chia dan Lee, pasangan beregu wanita negara, Pearly Tan dan M Thinaah menduduki tempat keempat dalam penampilan sulung mereka di Sukan Olimpik.

Sementara itu, atlet angkat berat, Aniq Kasdan menduduki tempat keempat apabila hanya tewas dengan perbezaan 1kg di belakang pemenang pingat gangsa.

Ratu terjun negara, Nur Dhabitah Sabri turut mara ke peringkat akhir bagi saingan 3m papan anjal wanita tetapi menduduki tempat terakhir.

Pemain golf, Gavin Green dan Ashley Lau bersaing dalam semua empat pusingan, tetapi tidak berjaya meraih podium.

Semua atlet lain tidak melepasi peringkat akhir, termasuk pelumba basikal negara, Azizulhasni Awang yang hilang kelayakan pada separuh akhir acara keirin lelaki.

Ini adalah kali pertama Malaysia gagal memenangi pingat perak sejak Sukan Olimpik Athens pada 2004.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS