Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Jangan jadi wira papan kekunci, kata Chong Wei
Diterbitkan:  Aug 12, 2024 4:10 PM
Dikemaskini: 8:10 AM

Legenda badminton negara Lee Chong Wei menggesa netizen supaya tidak berselindung di sebalik profil tanpa nama untuk membuat kenyataan menghina atlet Malaysia berikutan tamatnya Sukan Olimpik Paris semalam.

Jaguh berusia 41 tahun yang memenangi tiga pingat perak Olimpik berturut-turut dalam perseorangan lelaki itu juga menekankan kepentingan memberi sokongan dan maklum balas yang membina kepada atlet.

Chong Wei mengakui dia adalah jenis orang yang bersuara apabila menyedari sesuatu yang tidak kena berlaku kerana sangat mengambil berat mengenai Malaysia dan ingin berkongsi pengalaman demi negara.

“Jangan sesekali menjadi wira papan kekunci.

"Pasukan Malaysia telah mempamerkan persembahan cemerlang sejak dua minggu lepas.

"Sukan sebenarnya telah menyatukan negara. Sama ada anda Jenis-C, Jenis-Kilat, mahupun Satu demi Satu, semua orang akan mengaktifkan mod ‘Saya Anak Malaysia’ dan berkumpul di kedai mamak untuk memberi sorakan kepada skuad negara.

“Kepada para atlet, anda ialah wira dan wirawati. Terima kasih kerana memberi persembahan yang sangat baik. Belajar daripada pengalaman ini dan lakukan lebih baik pada masa depan.

"Abaikan teguran negatif, tetapi ambil maklum balas membina.” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.

Chong Wei juga berkata atlet negara boleh mencuba lagi menggapai impuan dalam Sukan Olimpik di Los Angeles pada 2028, namun kerja keras harus dimulakan sekarang.

Terdahulu, Malaysia menamatkan kempen Olimpik Paris 2024 dengan dua pingat gangsa iaitu dalam acara badminton melalui beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan pemain perseorangan lelaki Lee Zii Jia.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS