Kira-kira 2,400 anggota polis ditugaskan mengawasi perlawanan akhir bola sepak Piala FA membabitkan pasukan JDT dan Selangor di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Mohd Isa juga mengingatkan penoton - yang dijangka mencecah 85,000 orang - supaya menjaga tatasusila dan tidak melakukan provokasi hingga mencetuskan kekecohan.

“Pemeriksaan akan dilakukan sebelum dan selepas memasuki stadium iaitu pemeriksaan badan dan beg bagi mengelakkan barangan terlarang dibawa masuk.

“Tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat penyokong dan penonton perlawanan melanggar arahan ditetapkan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya kepada pemberita selepas istiadat penganugerahan pingat Jasa Pahlawan Negara untuk Kontinjen Kuala Lumpur di Kuala Lumpur hari ini.

Rusdi berkata barangan yang dilarang dibawa ke stadium termasuklah mercun, bunga api atau suar, topi keledar, laser, objek tajam, senjata, dadah, minuman keras, payung atau tongkat, powerbank, botol air, ketulan ais, pemetik api, rokok atau rokok elektronik, dron, pembesar suara, wisel dan gendang.

Katanya lagi, jika terdapat keperluan polis akan melakukan lencongan dan penutupan jalan seawal jam 9 pagi bagi mengawal aliran trafik serta mengelakkan kesesakan.

Hal itu kerana, kata Rusdi, jumlah parkir yang tersedia di sekitar stadium berkenaan adalah terhad iaitu sebanyak 4,968 lot sahaja.

Menurutnya lencongan dan penutupan jalan membabitkan susur Lebuhraya Shah Alam (Kesan) ke lampu isyarat Sukom, lencong ke Awan Kecil atau Awan Besar.

Juga terlibat ialah jalan dari lampu isyarat Sukom ke arah Jalan Merah Cagar, lencong ke Awan Kecil atau Awan Besar; susur ke Jalan Barat dari Lebuhraya Kesas, lencong ke Jalan Radin dan Sri Petaling; susur ke Jalan Barat dari Jalan Radin, lencong ke Shah Alam; susur ke Jalan Barat dari Lebuhraya Kesas, lencong ke Jalan Radin dan Sri Petaling; Puchong Link susur ke Jalan Barat dari arah Bulatan Lumba Kuda, lencong ke Kinrara dan susur Puchong Link ke Jalan Barat dari arah Kinrara, lencong ke Bulatan Kuda.

“Polis turut menggalakkan penonton menggunakan pengangkutan awam termasuk Transit Aliran Ringan (LRT),” katanya.

Dia juga mengingatkan penonton supaya masuk ke stadium mengikut pintu yang tertera pada tiket masing-masing bagi melancarkan kawalan keselamatan selain.

Rusdi berkata polis juga ditempatkan di stesen LRT Bukit Jalil bagi memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku.

- Bernama