Pemain sayap Belanda berdarah Maghribi, Anwar El Ghazi, akan menyumbangkan €500,000 (RM2.44 juta) yang diterimanya daripada kelab Mainz untuk anak-anak Gaza.

"Saya ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Mainz atas dua perkara.

"Pertama, atas bayaran kewangan yang besar, dengan 500k daripadanya akan digunakan untuk membiayai projek bagi kanak-kanak di Gaza," kata El Ghazi di X dan dipetik Agensi Anadolu hari ini.

"Saya berharap Mainz - walaupun berulang kali gagal untuk mengelak daripada membuat bayaran yang sewajarnya - mendapat ketenangan daripada hakikat bahawa mereka, melalui saya, telah menyumbang secara kewangan untuk cuba menjadikan hidup kanak-kanak Gaza lebih dapat bertahan," katanya.

"Kedua, dalam usaha mereka untuk mendiamkan saya, ia menjadikan suara saya lebih kuat untuk golongan yang tertindas dan tidak bersuara di Gaza," kata pemain berusia 29 tahun itu lagi.

Mahkamah Buruh Mainz memutuskan bahawa kenyataan pemain terbabit adalah dalam skop kebebasan bersuara dan penyingkirannya dari kelab Jerman itu adalah "tidak sah."

Mahkamah mengarahkan agar Anwar terus menerima gaji bulanan sebanyak €150,000 (RM799,206) dan kembali bermain untuk kelab itu.

Mainz pada awalnya menggantung dan kemudian memberi amaran kepada Anwar pada Okt lalu mengenai frasa River to the sea yang digunakan pemain terbabit di Instagram.

Ungkapan From the river to the sea, Palestine will be free adalah slogan Palestin yang merujuk kepada kawasan antara Sungai Jordan dan Laut Mediterranean, yang merangkumi Israel, Tebing Barat, dan Semenanjung Gaza.

Kemudian, pengurusan kelab Mainz mengumumkan bahawa Anwar telah dimaafkan selepas perbincangan dibuat.

Bagaimanapun, Anwar telah menyertai kelab di Wales, Cardiff City, sebagai ejen bebas dengan kontrak selama setahun pada bulan ini.

- Bernama/Anadolu