Seorang pemain badminton profesional didenda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen Kajang hari ini selepas mengaku bersalah memukul seekor anjing secara bertubi-tubi di balkoni rumahnya, bulan lalu.
Hakim Mazuliana Abdul Rashid menjatuhkan hukuman itu terhadap Samuel Lee, 21, dan memerintahkan lelaki terbabit dipenjara enam bulan jika gagal melunaskan bayaran denda.
Lee didakwa memukul anjing baka Husky dengan tangan secara bertubi-tubi di Landmark Residence, Kajang antara jam 12.09 hingga 12.19 pagi pada 1 Julai lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM20,000 dan maksimum RM100,000 atau dipenjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.
Mengikut fakta kes, tindakan Lee memukul anjing itu telah dirakam oleh jirannya dan tular di media sosial.
Susulan kejadian itu, pada 2 Julai lalu pihak penyelamat haiwan mengambil anjing tersebut untuk rawatan di klinik veterinar dan didapati mengalami trauma serta ketakutan ekstrem.
Susulan itu sehari kemudian pegawai kebajikan haiwan dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor pergi ke rumah Lee namun dia tiada di rumah.
Anjing Husky yang dinamakan Kitster itu disimpan di Kota Damansara Veterinary Centre untuk siasatan lanjut.
Hasil siasatan menunjukkan Lee telah melanggar Seksyen 29 (1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dengan melakukan penganiayaan terhadap haiwan.
Terdahulu pegawai pendakwa dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor, Mohd Sharif Sabran, memohon hukuman berat sebagai pengajaran kepada tertuduh.
"Perbuatan OKS (orang kena saman) yang kejam memukul anjing itu hingga mengalami kemurungan memerlukan hukuman berat sebagai pengajaran kepada masyarakat dan teladan.
"Kes ini telah mendapat liputan luas dan menimbulkan kemarahan awam, menunjukkan perlunya tindakan serius terhadap jenayah terhadap haiwan serta mempertimbangkan faktor kepentingan awam," katanya.
Peguam S Rajashree yang mewakili Lee memohon hukuman denda minimum atas alasan anak guamnya seorang pemain badminton profesional dan juga mempunyai tanggungan keluarga.
- Bernama
