Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengakui dia "tak larat" mendengar ejekan dan kecaman yang dilemparkan ekoran kegagalan skuad The Red Devils terus gagal menyinar setakat ini.

Menceritakan pengalamannya semasa berucap dalam perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan di Putrajaya hari ini, Anwar berkata, dia memang menjadi peminat setia Manchester United.

Pada masa sama, cucu-cucunya memilih kelab lain yang lebih menyinar sejak beberapa musim lalu - Arsenal.

Pun begitu Anwar berkata dia tidak akan mengubah sokongannya daripada Manchester United ke kelab lain.

“Saya ni dari dulu memang penyokong Man U, jadi cucu-cucu saya kata: papa tok, you are ancient (ketinggalan zaman), the history is gone (kegemilangan kelab itu dah berlalu).

“Saya kata: tidak, saya tidak mampu tukar lagi (pasukan kegemaran). Dia (cucu) penyokong Arsenal, sebahagian kecilnya lagi Liverpool.

"Saya kata, tidak, saya tidak akan bersama (dengan mereka menyokong kelab lain),” katanya.

Selepas berakhir hari perlawanan ketiga Liga Perdana Inggeris (EPL), kelab dibimbing Erik Ten Hag itu mendekam di kedudukan ke-14 dengan hanya berbekalkan tiga mata hasil satu kemenangan.

Pada Ahad lalu kelab yang pernah digeruni ramai suatu ketika dulu itu dibenam Liverpool 0-3 membolehkan skuad The Reds menduduki tangga kedua di belakang Manchester City.

Pada musim sebelum ini (2023/24) Manchester United terpaksa menelan kepahitan apabila berada di kedudukan kelapan dengan 60 mata. Arsenal pula di tempat kedua dengan memiliki 29 mata tambahan.

"Setiap kali cucu saya datang, dia kata: MU kalah lagi. Haih… tak larat nak dengar dia,” katanya berjenaka.

Anwar menceritakan pengalaman itu semasa menjelaskan bahawa minat orang ramai terhadap sukan - khususnya bola sepak - di negara ini menyeluruh.

"Ia merentas generasi," katanya.

Untuk rekod selain Anwar, bekas perdana menteri yang kini menjalani hukuman penjara, Najib Razak, juga salah seorang penyokong setia Manchester United.

Pada 2015, semasa skandal 1MDB banyak diperkatakan Najib menarik perhatian ramai apabila menyatakan keyakinan terhadap kemampuan kelab itu untuk menyinar dan memberikan cabaran di EPL.

Bagaimanapun harapan yang dinyatakan Najib itu tidak semuanya mendapat reaksi positif. Sesetengah peminat bahkan mendakwa Najib adalah punca kepada "nasib malang" Manchester United.

“Kenapa Manchester United ada peminat seperti Najib? Patutlah ia tidak berfungsi dengan baik. Mengapa Najib tak sokong Arsenal saja?" kata salah seorang daripada mereka.