Nampaknya atlet para negara yang kini bergelar jutawan tidak bercadang untuk membolot laba yang datang itu untuk diri sendiri atau lingkungannya saja.

Bagi Cheah Liek Hou, dia berpendapat imbuhan yang diperolehi kerana berjaya menyumbang pingat emas buat negara di Paris wajar dikongsi bersama.

Justeru dia yang menjadi juara kategori SU5 di Olimpik Para semalam bercadang untuk mendermakan sebahagian daripada imbuhan tersebut dengan badan amal.

"Perkara pertama yang ingin saya lakukan ialah mendermakannya. Saya mahu memberi kembali kepada masyarakat," katanya seperti dipetik NST hari ini.

Bagaimanapun dia belum memutuskan badan atau entiti amal mana yang akan menerima sumbangan tersebut, namun ia tertumpu kepada pertubuhan menyokong orang kurang upaya, rumah orang tua dan rumah anak yatim.

Dalam perlawanan akhir di Porte de La Chapelle Arena itu Liek Hou tidak berdepan banyak masalah untuk menumbangkan pencabar dari Indonesia dengan mata 21-13 dan 21-15.

Ia adalah emas kedua yang dimenangi atlet berusia 36 tahun tersebut. Kedua-dua mereka bertarung dalam kategori atlet mengalami kecatatan badan bahagian atas.

Untuk rekod, mendermakan sebahagian daripada hadiah kemenangan itu bukanlah kali pertama dilakukan Liek Hou.

Apabila memenangi emas di temasya Olimpik Para 20202 yang dilangsungkan di Tokyo, dia sudah melakukan tindakan tersebut bagi membantu badan amal.