Skuad Harimau Malaya berjaya menempah tempat ke final Pestabola Merdeka 2024 apabila menundukkan Filipina 2-1 pada aksi yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Kemenangan itu sekali gus menyaksikan skuad kebangsaan akan berdepan Lebanon pada aksi final Ahad ini.

Malaysia ketinggalan 1-0 pada babak pertama apabila rembatan Jefferson Tabinas terkena kaki Feroz Baharudin sebelum menerjah jaring pada minit ke-27.

Bagaimanapun pasukan negara bangkit menyamakan kedudukan apabila Syamer Kutty Abba merembat masuk gol penyamaan selepas menerima umpanan daripada Feroz ketika babak pertama berbaki dua minit.

Pada babak kedua, pemain gantian, Safawi Rasid meletakkan Harimau Malaya di depan menerusi sepakan penalti pada minit ke-73 selepas Arif Aiman Hanapi dijatuhkan Matthew Baldisimo.

Kedua-dua pasukan kemudian saling melakukan asakan dan serangan namun tiada gol tambahan terhasil sehingga wisel penamat dibunyikan.