Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Jelebu wilayah paling kering - wilayah lembah gaung yang dipagari oleh ekor Banjaran Titiwangsa. Justeru mengikut kajian ilmu alam. Jelebu menjadi wilayah bayangan hujan atau rain shadow area. Pekan Jelebu dipanggil Kuala Klawang. Pekan kecil ini ialah kota soldadu - garrison town. Tentera British, Tentera Gurkha dan Askar Melayu pernah berpangkalan di Kuala Klawang.

Jelebu amat strategik kerana bersempadan dengan Selangor - untuk ke Hulu Langat, ke Ampang. Justeru, soldadu kolonial di Kuala Klawang ini bertugas untuk mempertahankan Kuala Lumpur dari serangan gerila Pembebasan Rakyat Malaya yang mengangkat senjata melawan British. Hari ini - untuk ingatan sejarah - masih ada Jalan Gurkha dalam pekan Kuala Klawang. Bangunan sekolah dan asrama sekolah aku adalah bangunan peninggalan soldadu kolonial. Di sini Aishah dilahirkan. Di sinilah aku dibesarkan.

Dengan sebuah teksi wartawan Dean Nelson, Hadi dari Radio Bangsar Utama dan aku menuju ke Jelebu. Mencari rumah keluarga Aishah tidak susah. Ini wilayah tempat aku bermain. Orang yang aku cari ialah Cikgu Kamar Martum kakak kepada Aishah. Nama ini telah lama berlegar dalam kepala aku. Si cikgu ini adalah juga kawan baik dari arwah Cikgu Zaleha Sidek, emak kepada Hishamuddin Rais. Pusing punya pusing ke situ juga akhirnya.

Kami sampai disambut oleh suami Cikgu Kamar. Sang suami juga seorang guru. Justeru dengan pantas mengenali aku. Kami salam bersalam untuk kenal mengenal sementara menunggu Cikgu Kamar muncul. Beberapa minit kemudian yang dicari muncul. Cikgu Kamar mengenali aku. Dan terus bersurah tentang bagaimana Cikgu Zaleha dan dia aktif dalam Pandu Puteri di Jelebu. Menurut perawi sahih ini, arwah emak aku akan menulis ucapan Pandu Puteri dalam Bahasa Melayu dan Cikgu Kamar akan menterjemah dalam Bahasa Inggeris. Inilah sejarah yang mengaitkan aku dengan keluarga Cikgu Kamar.

Lalu aku buka cerita. Cikgu Kamar terperanjat. Dia terus bertanya apakah adiknya yang hilang selama ini telah ditemui. Dean Nelson secara bersopan mengatakan:

"Mungkin Aishah dan mugkin tidak."

Semua belum sahih. Para wartawan di United Kingdom sedang menyelidik kerana pihak polis enggan memberikan nama. Mengikut Dean Nelson, tugas wartawan - yang bukan wartawan Malaysia - ialah mencari dan membuat berita, bukan mengeluarkan berita bodek.

Justeru walau pun polis enggan memberi apa-apa maklumat tetapi jika wartawan telah memiliki berita dari sumber yang sahih maka tugasnya ialah melaporkan. Inilah yang sedang kami lakukan di Jelebu. Kami mengumpul fakta. Dalam masa yang sama tim wartawan Daily Telegraph di Lodon sedang ‘mengorek' apa sahaja yang boleh dikorek dari semua saluran.

Cikgu Kamar bersurah. Sesekali air mata meleleh. Sedih bercampur gembira. Pada ketika ini belum ada kesahihan, maka aku terpaksa menyatakan secara jujur bahawa mungkin bukan Aishah. Ini untuk menyelamatkan keadaan jika bukan Aishah yang dilaporkan menjadi ‘hamba'.

Dean sebagai wartawan menemubual Cikgu Kamar dari pelbagai sudut. Mencari nama dan tarikh yang pasti. Bila Aishah ke London? Universiti mana dia belajar? Maklumat ini tidak dapat kepastian. Masa telah membawa penyakit lupa. Aku memiliki ingatan tentang kes "Malaysian Maoist' yang telah menghalau seorang profesor rasis dari berucap di London School of Economic. Dalam kumpulan ini aku yakin pasti Aishah terlibat. Maka dari sini timbul berita mengatakan Aishah belajar di LSE. Sebenarnya maklumat ini tidak betul. Aishah belajar ilmu Pembinaan Bangunan di Brixton School of Building - kini telah menjadi sebahagian dari London Southbank Universiti.

Hampir tiga jam kami di rumah Cik Gu Kamar. Sebelum pulang kami singgah ke pekan Kuala Klawang untuk makan tengah hari. Di sini aku terangkan kepada Dean mengapa sang suami tidak bercakap apa apa pun. Tidak mengeluarkan pendapat. Hanya duduk mendengar. Dalam adat Negeri Sembilan ini dipanggil "watak menyemenda" - tidak mencampuri hal sang isteri. Justeru, kelihatan Cikgu Kamar lebih dominan dari sang suami. Dalam kepala aku pasti watak perempuan Negeri Sembilan inilah yang dimiliki oleh Siti Aishah.

Dalam teksi perjalanan pulang, aku menelefon beberapa ‘kawan' lama yang aku tahu mereka pasti tahu apa yang sedang aku cari. Sayangnya, ada yang ‘buat-buat lupa' dengan alasan telah terlalu lama. Sekali lagi masa menghambat ingatan. Ada yang menggunakan alasan tidak boleh cakap kerana arahan polis London. Ini lagi songel. Pada keseluruhan aku faham, mungkin kerana pangkat dan gelaran, mungkin kerana kedudukan mereka ingin melupakan sejarah ‘Maoist' mereka. Tetapi aku tidak pernah melupakan apa yang mereka jangkakan aku lupa. Inilah hebatnya dibesarkan di Jelebu dan minum air dari Bukit Tangga.

Dari dalam teksi perjalanan pulang, aku telah mengatur Dean untuk bertemu dengan Dr Rohana Ariffin yang kini menjadi pemimpin Parti Rakyat. Dari ingatan aku Dr Rohana juga menyambung belajar di kota London. Dalam masa yang sama Dean telah berjaya menghubungi Abang Aishah dan akan bertemu esok pagi. Nampaknya apa yang kami lakukan di Jelebu telah membawa hasil.

Di Kuala Lumpur aku gagal untuk hadir sebagai juri hak asasi manusia untuk Dewan Perhimpunan Cina. Tetapi ini bukan bererti aku tidak mengambil bahagian. Teknologi moden membolehkan aku terus berhubung berbincang dan membuat pilihan walau pun ketika itu aku berada dalam hutan di atas Bukit Tangga. Dalam masa yang sama teknologi moden juga telah membolehkan Adam Adli melayari Internet untuk memberi maklumat kepada aku tentang Aishah. Adam telah yakin ‘Marxist collective' itu pastilah kumpulan Chairman Ara.

Sekembali dari Jelebu aku mengetik komputer menyediakan tulisan untuk Suara Keadilan. Aku beritahu sang pengarang, mungkin sedikit lewat, tapi akan beres. Dalam masa yang sama Dean terus menghubungi aku untuk kesahihan beberapa maklumat. Dean juga memberi aku tahu nama Ara yang penuh ialah Aravindan Balakrishnan. Ini hasil dari selidikan tim Daily Telegraph di London.

Selesai aku membuat tulisan untuk Suara Keadilan aku pun membuat berita dalam blog: "Tukar Tiub memecah berita sedunia - Siapa Dia Aishah? Siapa dia Chairman Ara?"

Aku banyak menggunakan metode satira dalam mengolah berita. Aku menggunakan lawak dan humor untuk menarik pembaca. Ini memang aku rancang. Tukar Tiub memecah berita, hingga ke hari ini belum pernah lagi tersilap. Aku memastikan blog aku tidak ada khabar angin, tidak ada fitnah dan tohmah. Kalau seseorang itu gemuk dan pendek maka itulah yang akan ditulis oleh Tukar Tiub - tidak lebih dan tidak kurang walau pun sekilo.

Malam ini aku bersantai di lorong merah Brickfields. Aku menghantar dua SMS tentang Tukar Tiub memecah berita sedunia. Satu kepada tuan pengarang The Malaysian Insider dan satu lagi kepada tuan pengarang Malaysiakini. Dua-dua tuan pengarang ini adalah kenalan baik. Untuk berlaku adil aku memberi kedua-dua tahu tentang ‘pecah berita' ini.

Jam telah lewat tengah malam. Telefon aku berdering. Farhan dari The Malaysian Insider bertanya tentang ‘Pecah Berita'. Aku kenal wartawan ini tetapi aku rasa tidak mungkin wartawan muda ini tahu apa di belakang breaking news ini. Suam-suam aku layan. Tetiba tuan pengarang sendiri menelefon dan mahu datang bertemu walau pun waktu telah melintasi jam 1:00 pagi. Aku bersetuju untuk menunggu.

Amin Iskandar bersama Farhan dari The Malaysian Insider sampai ke Brickfield lewat jam 1:30 pagi. Amin telah membaca Tukar Tiub dan dia mahu cerita sabenar. Dia amat yakin bahawa aku mengetahui lebih dari apa yang aku tulis dalam blog. Lalu aku bukakan cerita.

Esoknya Selasa 26 November 2013, siapa ‘ perempuan hamba' yang ditahan di United Kingdom telah diketahui dunia. Berita diambil dari Tukar Tiub oleh The Malaysian Insider dan merebak ke seluruh dunia. Perempuan yang dikatakan hamba itu rupa-rupanya perempuan dari Jelebu bernama Siti Aishah.

Dean Nelson menelefon aku. Dia mahu ke Jelebu sekali lagi. Rakaman dari telefon yang dibuat kelmarin tidak begitu baik. Dia mahu ulang rakam. Sebelum ke Jelebu Dean telah menerangkan kepada aku bahawa dia telah sempat bertemu dengan Dr Rohana yang berjaya membantu menyambungkan lagi dengan beberapa orang lagi ‘kawan' lama.

Di Jelebu aku tidak tahu apa yang berlaku. Tetiba Cikgu Kamar menelefon aku dan memberitahu bahawa Dean mempelawa dia untuk terbang ke London. Aku menyokong. Untuk aku ini peluang agar dapat dipertemukan kakak dengan adik yang selama ini telah hilang. Aku tahu perasan itu. Aku tahu perasan keluarga kerana aku juga pernah mengelincir untuk terus berkelana selama 20 tahun.

Di hari Selasa yang ini, Internet aku mati kerana talian dimakan oleh ana-anai. Justeru aku sibuk cuba memperbaiki talian. Tetiba Dean memberitahu aku jika boleh aku temani Cikgu Kamar ke London sama. Aku minta masa kerana ketika ini Bilik Sulit telah disusun untuk dipentaskan di Kota Baharu dan Kuala Terengganu. Fikir punya fikir, akhirnya aku terima jemputan ke London walau pun aku tahu bulan November adalah bulan paling sejuk.

Aku pun membuat beberapa panggilan telefon memberitahu bahawa aku akan ke London pada hari Rabu. Belum pun sempat SMS aku dijawab, Deen Nelson dari Dailay Telegraph telah menelefon aku sekali lagi.

"We go tonite. (kita terbang malam ini)."

Dean Nelson pulang dari Jelebu dengan membawa Cikgu Kamar Martum. Kini dari Jelebu kita terus mencari Aishah di London.

Mencari Aishah

Mencari Aishah II

Mencari Aishah III: Di Jelebu

ADS