Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemuda PAS sokong sikap Hadi
Diterbitkan:  Jul 15, 2008 4:40 PM
Dikemaskini: 9:25 AM

Pemuda PAS menyokong presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menegaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim harus menyelesaikan "masalah sendiri melalui mahkamah" dan tidak mahu kes penasihat PKR itu "mengganggu kerja-kerja politik" parti itu dalam Pakatan Rakyat.

"Dewan Pemuda PAS Pusat berdiri teguh di belakang presiden dan menyokong kenyataan beliau dalam temubual dengan media pada minggu lepas," kata ketua penerangan dewan itu, Suhaizan Kaiat.

Dalam wawancara panjangnya yang diterbitkan media rasmi parti Harakadaily.net Jumaat lepas, Abdul Hadi berkata:

"Saya tidak mahu kerja-kerja politik diganggu oleh isu-isu berkait dengan masalah individu. Masalah individu diselesaikan secara masalahnya sendiri.

"Oleh kerana itu saya lebih bersetuju supaya masalah itu diselesaikan di mahkamah yang adil. Kalau mahkamah sivil tidak boleh selesai, mestilah dibawa ke mahkamah syariah."

Abdul Hadi, yang juga ahli parlimen Marang, diminta mengulas isu laporan polis Mohd Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa diliwat Anwar dan kesannya kepada kerjasama dalam Pakatan Rakyat.

Suhaizan juga menafikan laporan Malaysiakini semalam - dengan memetik sumber dalaman dewan itu - yang menyebut Pemuda PAS "menyifatkan pandangan Abdul Hadi sebagai isyarat kritikan terhadap Anwar dan dua lagi parti Pakatan agar tidak menimbulkan masalah kepada PAS."

"Dewan Pemuda PAS Pusat mempertegaskan bahawa kami tidak pernah membuat kenyataan berhubung dengan kenyataan di atas," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pemuda PAS juga menafikan wujud persengkataan antara aliran konservatif, antaranya yang diwakili Dewan Ulama, dengan aliran yang lebih terbuka.

"Laporan (semalam) ini seolah-olah wujudnya kelompok-kelompok tertentu dalam PAS yang saling bersengketa antara satu sama lain.

"Dewan Pemuda PAS Pusat telah menafikan sekeras-kerasnya wujudnya pertentangan di antara Dewan Pemuda PAS dengan mana-mana individu atau kelompok dalam PAS," katanya.

"PAS sebagai sebuah parti yang berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah tidak langsung terjebak dalam pertentangan kelompok.

"Apa yang wujud dalam PAS adalah perbezaan pendapat dalam mematangkan sesuatu keputusan sahaja. Ini perkara biasa dalam mana-mana organisasi dalam dunia."

ADS