Malaysiakini
KOLUM

KOLUM | Tak sayukah Muhyiddin?

Lu Wei Hoong

Diterbitkan
Dikemaskini 2 Jun 2020, 11:47 tengahari
0

KOLUM | Sejak beberapa hari lalu 'perang' di antara kem Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin dalam Bersatu semakin hangat.

Ketika angka "129" menjadi tular dan mengundang pelbagai spekulasi, drama krisis dalamam Bersatu dilatari pula dengan kedudukan Mahathir dan penyokongnya dalam parti berkenaan.

Pertarungan dua tokoh itu juga menyaksikan desas-desus ada seorang menteri dan seorang timbalan menteri akan bertukar angin dengan memberikan sokongan kepada Mahathir.

Memang menteri tugas-tugas khas yang ditempatkan Muhyiddin di Jabatan Perdana Menteri, Mohd Redzuan Md Yusof, kelihatan menekan brek pada saat-saat akhir. Beliau kemudian mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan memberikan ikar taat setia kepada Muhyiddin selaku perdana menteri.

Pun begitu, Timbalan Menteri Kerja Raya, Dr Shahruddin Md Salleh, muncul bertemu Mahathir selepas ahli parlimen Langkawi itu 'merampas semula' pejabat pengerusi Bersatu dalam bangunan parti tersebut.

Menurut sebuah klip video, Shahruddin dilihat mengucapkan selamat hari raya kepada Mahathir dan tokoh yang digelarnya sebagai pejuang, negawaran dan bapa itu membalas dengan kata-kata "maaf zahir dan batin."

Tidak dapat dipastikan sama ada langkah Shahruddin itu mengejutkan kem Muhyiddin atau tidak namun ia berpotensi memberi tamparan hebat kepada presiden Bersatu itu, terutama dalam kalangan anggota parti di Johor.

Dalam kamus politik kita, biasanya perkataan "pembangkang" adalah sesuatu kotor, negatif dan keji. Pembangkang dalam sistem demokrasi negara ini biasanya adalah kumpulan orang yang tiada sumber, tiada peruntukan dan dipandang rendah.

Berkhidmat bersama hingga 2009

Kira-kira ia seperti sektor kerja 3D yang selalu dikuasai oleh pekerja asing iaitu "dangerous”, “difficult” dan “dirty”.

Bukan senang untuk seorang wakil rakyat kerajaan - yang biasanya sudah selesa dengan pelbagai kelebihan dan layanan yang diterima - untuk beralih angin menyertai pembangkang. Ia akan menjadi lebih sukar jika ia dibuat secara bersendirian.

Tetapi Shahruddin ada pengalaman sebegitu.

Selepas dipecat daripada Umno pada 2016, Muhyiddin dan rakan-rakan beliau merancang menubuhan sebuah parti baru sebagai wadah untuk terus berpolitik dan mendepani BN.

Maka Shahruddinlah yang dihubungi oleh Muhyiddin. Sementelah bekas Adun Jorak yang berada di bawah parlimen Pagoh itu bukanlah asing buat Muhyiddin.

Pada 11 tahun pertama Muhyiddin berkhidmat sebagai menteri persekutuan, Shahruddin diamanahkan sebagai setiausaha politik sehinggalah 2009 apabila beliau dilantik menjadi timbalan perdana menteri.

Semasa Muhyiddin disingkir keluar dari Umno, Shahruddin masih memegang jawatan naib ketua Umno Pagoh, Adun Jorak, pengerusi Institut Terjemahan dan Buku Malaysia serta ahli lembaga pengarah UiTM.

Beliau masih menikmati kehidupan politik yang selesa.

Kemudian beliau dihubungi Muhyiddin bagi menguruskan proses pendaftaran sebuah parti baru yang kini kita kenali sebagai Bersatu. Shahruddin juga dipilih sebagai setiausaha agung pertama parti itu.

Penyokong nampak gembira

Pertama kali saya berjumpa dengan Shahruddin adalah di Kundang Ulu yang terletak di kawasan parlimen Pagoh. Ia merupakan kampung tradisi Melayu. Penduduknya amat mengenali Muhyiddin.

Pada bulan Ramadan 2017, sebuah masjid melarang Muhyiddin mengadakan majlis berbuka puasa serta menyampaikan sumbangan beras tahunan kepada penduduk tempatan.

Walaupun aktiviti Ramadan pertama Bersatu Pagoh dihalang, mereka sempat mengadakan majlis di sebuah rumah penyokong yang bersimpati.

Di situ Muhyiddin - yang kehilangan keistimewaan sebagai orang nombor dua dalam parti dan kerajaan - menyatakan keluhannya kerana mula berdepan pelbagai kekangan.

Kalau dulu pasti ada ramai wartawan membuat liputan aktiviti Muhyiddin walau di ceruk mana pun, tapi pada hari itu - di Kundang Ulu - hanya ada dua wartawan memerhati.

Pertama, saya sebagai wakil Malaysiakini; dan seorang wakil China Press.

Penyokong Bersatu nampak amat bergembira dengan kehadiran kami. Selepas majlis tamat, saya sempat bersalaman dengan Shahruddin. Beliau kelihatan begitu semangat dan bertekad untuk menentang Umno/BN.

Kami berbual seketika dan itulah perbualan terakhir saya dengannya setakat ini.

Dari tingkap rumah penyokong yang terbuka itu, saya sempat terlihat susuk Muhyiddin menunaikan solat Maghrib. Bekas menteri besar Johor berkenaan kelihatan tawaduk menghadapi kesulitan perjalanan politik yang mungkin tidak pernah dimimpikannya pun sebelum itu.

Justeru saya tidak hairan atau berasa aneh apabila ramai orang terpesona - malah tersentuh hati masing-masing - apabila mendengar Muhyiddin sebagai perdana menteri membacakan doa sekarang.

Berpindah parti lepas ditolak

Kemudian datanglah pilihan raya umum (PRU) bersejarah itu. Ia berlaku pada 9 Mei 2018. Hasil kegigihan dan kesepakatan PH, Bersatu memenangi lima kerusi parlimen dan sembilan kerusi DUN.

Lebih daripada itu parti bunga raya berkenaan membuktikan dengan strategi yang betul kubu kuat Umno yang biasanya dibina secara sistematik di kawasan luar bandar atau petempatan Felda tetap boleh ditembusi.

Maka PH menguasai Putrajaya dan hampir semua negeri, termasuk di tempat Umno dibidankan, iaitu Johor.

Sahruddin juga berjaya menawan kerusi parlimen Sri Gading. Apabila kerajaan dibentuk dan kabinet dipersiapkan, beliau diberi kepercayaan menjadi timbalan menteri wilayah persekutuan.

Apabila Langkah Sheraton berlangsung, Shahruddin masih tekal dan setia mengikut bosnya - Muhyiddin - dan menyertai kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Tetapi pada masa sama, kem Mahathir enggan menerima PN. Bersama Mahathir ialah empat kerusi parlimen lain. Tiga daripadanya adalah di Kedah, manakala dua yang lain - Muar dan Simpang Renggam - berada di Johor.

Hakikatnya kelima-lima kerusi parlimen itu diwakili oleh anggota Bersatu sebenar. Mereka bukan ahli parlimen yang melompat daripada parti lain selepas ditolak rakyat.

Walaupun sesetengahnya pernah menyertai Umno, tetapi Mahathir, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Mukhir Mahathir, Dr Maszlee Malik dan Amiruddin Hamzah adalah anggota asal Bersatu.

Kewujudan wakil rakyat "asas" dalam mana-mana parti amat penting. Suka atau tidak, ia menjadi simbol kepada semangat perjuangan dan keyakinan bagi menyatukan pemimpin serta akar umbi.

Tanpa unsur yang mendasar itu, sesebuah parti mungkin boleh kehilangan arah tuju, seterusnya ia akan bertumpu kepada perjuangan mencari kesenangan diri dan mengejar ghanimah.

Perlu diakui, kebanyakan wakil rakyat Bersatu - yang bertanding dalam PRU sebagai calon Umno atau parti lain - tidak memiliki hubungan pertalian yang sejati. Semangat atau roh mereka bukan dibentuk secara semula jadi atau melalui keyakinan yang jitu.

Mereka menyertai Bersatu selepas parti lama mereka ditolak rakyat.

Longgar di akar umbi

Penghijrahan mereka mungkin didorong oleh kerinduan kepada keselesaan dan sumber sebagai wakil rakyat kerajaan selama berpuluh-puluh tahun silam. Tiba-tiba menjadi pembangkang tentulah memberikan kejutan yang amat menyakitkan.

Lazimnya, pengasas parti dan anggota akar umbi sukar menerima kehadiran pelompat-pelompat parti itu. Selain kesetiaan mereka diragui, kehadiran berkenaan juga membawa kemungkinan perbalahan serta persaingan.

Hal itulah yang melatari krisis di antara Muhyiddin dan Mahathir.

Pada masa sama Umno dan PAS tidak gentar dengan kemelut Bersatu. Bagi parti itu jika Muhyiddin meletak jawatan, senario paling teruk akan dihadapi pun adalah, mereka menjadi pembangkang semula.

Jika Muhyiddin sebaliknya menyembah takzim kepada Yang di-Pertuan Agong agar parlimen dibubarkan, ia adalah senario yang lebih ditunggu-tunggu Umno serta PAS.

Di mata Muafakat Nasional, Bersatu adalah parti yang senang diasak ke dinding. Selain terlalu muda dalam hayatnya Bersatu juga longgar di akar umbi.

Skim 'cepat kaya' yang ditawarkan Muhyiddin kepada ahli-ahli parlimen terpilih termasuk dalam kalangan Umno dan PAS juga sebenarnya membuka jalan untuk kian melemahkan Bersatu.

Sokongan dari bahagian juga penting untuk kelangsungan politik Bersatu. Di Utara, meskipun kerajaan Kedah pimpinan Muhkriz jatuh, sekurang-kurangnya tujuh daripada 15 bahagian menyokong kem Mahathir. Sokongan masih teguh walaupun mereka hilang kuasa.

Di selatan, sokongan terhadap pemecatan Mahathir dan empat yang lain itu tidak teguh. Menurut laporan media, hanya 10 daripada 26 bahagian Bersatu Johor menyokong tindakan drastik tersebut.

Mengikut perkiraan umum hanya 38 peratus daripada bahagian Bersatu Johor menyokong pengguguran keanggotaan Mahathir dan empat yang lain itu.

Muhyiddin tidak boleh bersandar dengan selesa kepada sokongan yang diterima di negerinya.

Ketika sokongan di Muar dan Simpang Renggam boleh diandaikan padu kepada Mahathir, saya terkenang kepada Allahyarham Md Farid Md Rafik yang memenangi kerusi Tanjung Piai pada 2018.

Seandainya sahabat saya itu masih hidup, kemungkinan besar beliau turut berada di belakang Mahathir. Hal itu kerana hubungan akrab di antara beliau dan Mahathir memang diketahui ramai.

Malah penyertaan Md Farid ke dalam politik secara aktif juga berpunca daripada seruan Mahathir.

Di Johor - pada waktu ini - hanya ada seorang wakil rakyat "asas" menjadi sandaran buat Muhyiddin, iaitu di Sri Gading. Shahruddin adalah anggota terawal Bersatu. Beliau bukan melompat dari Umno selepas Umno ditolak.

Dalam keadaan begitu, kalau Shahruddin bertukar kem, maka Muhyiddin akan keseorangan di Johor untuk menghadapi Umno dan PAS yang pada setiap masa bersedia untuk mengetepikan Bersatu.

Adakah Muhyiddin tidak berasa sayu melihat Shahruddin berjumpa Mahahtir?

Ataupun mungkinkan imaginasi saya merayap terlalu liar kerana Shahruddin - seperti Mohd Redzuan - hanya menemui Mahathir kerana bersempena hari raya?


LU WEI HOONG ialah peminat politik Malaysia, terutama yang ada kaitan dengan Johor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.