Ulangtahun kemerdekaan yang ke-50 tercemar dengan kes polis memukul pengadil karate, Donald Luther Kolopita dari negara jiran kita Indonesia. Dalam kesibukan membuat persiapan sambutan ulangtahun kemerdekaan, duta Malaysia ke Indonesia dan para pegawainya berhadapan dengan demonstrasi besar-besaran yang diadakan di hadapan kedutaan Malaysia di republik itu.

Sekarang ini, dimata majoriti rakyat Indonesia terutamanya anak-anak muda, "kejahatan" Malaysia tidak banyak bezanya dengan "kejahatan" Amerika Syarikat. Tercalar imej Malaysia sebagai Pengerusi OIC. Lebih-lebih lagi jiran kita Indonesia adalah negara yang mempunyai penduduk Islam yang terbesar di dunia.

Yang lebih menyedihkan lagi, rakyat dan pelajar Malaysia di Indonesia terancam dengan kemarahan rakyat Indonesia akibat kes Donald Luther Kolopita dan banyak lagi "kes-kes lama" penganiayaan yang berlaku terhadap rakyat Indonesia di Malaysia.

Kebanyakan kes ini ditutup kerana membabitkan pekerja asing yang kurang pendidikan dan takut untuk membuat pendedahan. Kes Donald menjadi gempar kerana beliau adalah pengadil sukan karate dan seorang yang berpendidikan.

Jenayah yang membabitkan polis terhadap rakyat asing bukanlah perkara baru. Tanyalah pandangan pekerja asing dari Nepal, Bangladesh, Burma, Indonesia dan Filipina mengenai polis Malaysia, sudah tentu anda akan menerima jawapan yang menyedihkan.

Cerita-cerita polis mengugut pekerja asing untuk meminta wang adalah antara cerita yang paling hangat diperkatakan. Cuma selama ini tidak banyak pihak yang membela dan mereka juga takut untuk membuat pendedahan.

Pada tahun 2005, apabila klip video yang menunjukkan seorang wanita dibogelkan - yang pada mulanya disangkakan pelancong China - dan disuruh ketuk-ketampi di salah sebuah balai polis, menteri kita, Azmi Khalid terus terbang ke China untuk memohon maaf.

Pohon maaf

Mengapa Azmi perlu ke China dan tidak hanya mengeluarkan kenyataan untuk memohon maaf? Mengapa dalam kes Donald ini, tidak ada seorang menteri pun yang dihantar untuk memohon maaf kepada pemerintah Indonesia? Apakah kerana China adalah sebuah kuasa besar? Indonesia tidak dianggap penting oleh kerana ramai rakyatnya bergantung kepada peluang pekerjaan di Malaysia?

Sewaktu berlakunya kes Nirmala Bonat pada tahun 2004, kebetulan saya dan seorang teman ke Indonesia untuk bercuti. Sewaktu berada dalam pesawat ke Jakarta, kami sudah terdengar perbualan rakyat Indonesia yang pulang ke negara mereka, mengenai kes itu. Rata-rata mereka merasa marah dengan nasib rakyat Indonesia di Malaysia.

Sedikit sebanyak perbualan mereka telah menjejaskan semangat kami untuk bercuti di Indonesia. Namun oleh kerana yakin yang kami tidak "bersalah", percutian kami diteruskan jua.

Apabila berurusan dengan Imigresen di Bandara Soekarno-Hatta, kami dapat merasakan kemarahan pegawai tersebut apabila melihat kami yang memegang pasport Malaysia. Tanpa memandang muka kami, beliau memberikan visa pelancong.

Sepanjang percutian kami di Jakarta, Yogyakarta, Bandung dan Bali, kami tetap mendapat layanan yang baik dari rakyat Indonesia walaupun ketika itu isu Nirmala Bonat dan isu Ambalat masih lagi menjadi perbualan di kalangan rakyat Indonesia.

Tidak dapat dibayangkan bagaimana perasaan rakyat Malaysia yang berada di Indonesia pada saat ini. Sudah pasti mereka hidup dalam ketakutan. Kerana kesalahan yang dilakukan oleh anggota polis Malaysia itu, mereka yang manjadi mangsa.

Permohonan maaf Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan kepada Donald tidak mencukupi. Musa perlu menjamin keselamatan rakyat Indonesia, terutamanya pekerja asing di Malaysia.

Pulih kepercayaan

Kempen "jangan tindas pekerja asing" boleh dilakukan sepertimana kempen anti-rasuah. Selepas ini, selain lencana dan pelekat kereta anti-rasuah yang digunapakai oleh polis, mereka juga boleh menambah lencana dan pelekat kereta "Jangan Tindas Rakyat Asing". Jika ini dapat dilakukan, maka sedikit sebanyak kepercayaan warga asing terhadap polis di Malaysia akan dapat dipulihkan.

Jika tidak, kredibiliti mereka bukan sahaja akan hilang di pandangan warga asing, malahan ianya akan rosak di kalangan rakyat Malaysia sendiri.

Kita tidak boleh melupakan jasa rakyat Indonesia yang membantu pembangunan negara. Tanpa keringat meraka, tidak mungkin bangunan-bangunan tinggi akan bangun dan berdiri megah di Kuala Lumpur.

Kehadiran pembantu rumah dari Indonesia juga telah banyak membantu mempermudahkan hal ehwal rumahtangga di Malaysia. Dengan bahasa yang seakan-akan sama juga telah memberikan kelebihan kepada pekerja asing dari Indonesia, berbanding dengan pekerja dari negara lain.

Tambahan lagi, Malaysia dan Indonesia dikatakan serumpun. Ramai rakyat Malaysia pada hari ini mempunyai asal-usul dan saudara mara di Indonesia.

Pengalaman lampau yang perit dan pedih seperti kempen "Ganyang Malaysia" yang berlaku pada satu ketika dahulu, tidak seharusnya berulang. Memang benar ada rakyat Indonesia di Malaysia yang terlibat dengan jenayah, tetapi kesalahan tidak harus diletakkan kepada semua warga Indonesia di Malaysia.

Kesediaan Malaysia untuk berkongsi "kek ekonomi" dengan Indonesia adalah satu perkara yang positif apabila banyak peluang pekerjaan diberikan kepada warga Indonesia. Tetapi perkongsian ini haruslah dilakukan secara "ikhlas".

Hubungan baik antara Malaysia dan Indonesia selepas berakhirnya konfrontasi, seharusnya dipertahankan. Yang bersalah seharusnya dihukum. Yang keruh seharusnya dijernihkan.

Masih belum terlambat bagi kerajaan Malaysia untuk menghantar Menteri Luarnya, Syed Hamid Albar untuk membuat permohonan maaf terbuka kepada rakyat Indonesia, demi kebaikan rakyat Malaysia.

Sebagai seorang menteri luar, beliau bertanggungjawab dengan nasib rakyat dan Duta Malaysia yang berada di luar negara. Jangan kerana "Nila setitik, rosak susu sebelanga".