KOLUM | Gelombang Gaza, TikTok dan amukan Gen Z
KOLUM | Benjamin Netanyahu rasa "senjata paling utama" di Amerika Syarikat (AS) yang perlu dikuasai adalah media sosial, khasnya TikTok. Presiden itu menyebut dalam satu pertemuan dengan pempengaruh Yahudi di negara kuasa besar itu pada hujung bulan lepas, seminggu sebelum The New York Times (29 September 2025) mendedahkan sokongan kepada negara itu merosot teruk sejak perang Gaza.
Membandingkan tempoh dua tahun, antara dua bulan selepas perang Oktober 2023 dengan September 2025, tinjauan itu mendapati:
47 peratus responden menyokong Israel berbanding 20 peratus yang menyokong Palestin (pada 2023).
35 peratus menyokong Palestin dan 34 peratus menyokong Israel (pada 2025), manakala selebihnya tidak tahu atau tidak menyokong mana-mana pihak.
hampir 60 peratus berkata Israel sepatutnya menghentikan kempen ketenteraannya “bagi melindungi orang awam daripada menjadi mangsa,” walaupun tebusan tidak dibebaskan atau Hamas tidak dihapuskan, matlamat utama Israel.
62 peratus responden berkata Israel tidak mengambil langkah berjaga-jaga yang mencukupi untuk mengelakkan korban awam.
40 peratus berkata mereka percaya Israel sengaja membunuh orang awam (2025), meningkat daripada hanya 22 peratus pada tinjauan Disember 2023.
Dalam kalangan generasi muda 18-29 tahun, 61 peratus menyokong Palestin berbanding Israel.
Hampir tujuh daripada sepuluh responden berusia bawah 30 tahun menentang pemberian bantuan ekonomi atau ketenteraan kepada Israel.
Dalam kalangan penyokong Demokrat, 54 peratus menyebelahi Palestin, manakala hanya 13 peratus menyebelahi Israel.
Peralihan terbesar menolak Israel berlaku dalam kalangan Demokrat kulit putih berijazah universiti
81 peratus penyokong Demokrat berkata Israel harus menghentikan perang walaupun tebusan tidak dibebaskan atau Hamas tidak dihapuskan, berbanding hanya 30 peratus penyokong Republikan berpendapat begitu.
Tinjauan akhbar ini dengan kerjasama Universiti Siena melibatkan 1,313 pengundi berdaftar Amerika Syarikat antara 22 hingga 27 September, dengan margin ralat sebanyak 3.2 mata peratusan.
Selepas meletakkan TikTok sebagai saluran kedua, dalam klip video yang tersebar, Netanyahu menyebut X tetapi menegaskan "beliau bukan musuh kita, beliau sahabat kita, kita kena berbincang dengannya". Tidak pasti presiden itu merujuk kepada siapa tetapi manusia terkaya Elon Musk menguasai X dan terang-terangan menggunakannya untuk menyebarkan fahaman pelampau kanan di Eropah.

Kekecewaan Gen-Z
Pengaruh TikTok dalam politik di negara itu mula dibincang sejak pilihan raya 2020 lagi tetapi dua tahun lalu ia dianggap pentas (platform) digital yang paling berkesan untuk menggerakkan kerja politik.
Selain desakan orang politik agar media sosial ini dikawal, terdapat kajian menunjukkan: "pengguna TikTok jauh lebih berkemungkinan bersedia untuk berkempen dan menderma wang kepada seseorang calon — sesuatu yang tidak berlaku bagi pengguna platform media sosial lain."
Kajian bertajuk Scrolling, Simping, and Mobilizing: TikTok’s influence over Generation Z’s Political Behavior (The Journal of Social Media in Society, Musim Bunga 2023), pengguna TikTok dan X bukan berhibur atau menyuarakan politik dalam talian sahaja walau kandungan itu digemari generasi Z (lahir 1997 hingga 2012).
Jika sebuah negara kecil seperti Israel tetapi dianggap paling berpengaruh di Amerika Syarikat dan Eropah terpaksa berdepan dengan media sosial, bayangkan apa nasib negara-negara sedang membangun yang institusi dan amalan demokrasinya masih longgar. Bayangkan bagaimana nasib negara-negara ini berdepan amukan Gen Z.

Sedekad lalu, Facebook pernah dikecam dan disiasat kerana menyebarkan maklumat palsu ketika kempen menaikkan Donald Trump bagi penggal pertama dan juga ketika pungutan suara untuk memutuskan Britain keluar atau tidak (Brexit) daripada Kesatuan Eropah. Hampir 15 tahun lalu, gelombang Arab Spring turut dipacu oleh penyebaran maklumat antikerajaan di media sosial.
Sejak tahun 2022, generasi Z menghamburkan kekecewaan dan kemarahan mereka menggunakan media sosial untuk menyusun siri bantahan yang selalunya ganas seperti di Sri Lanka (April 2022), Equador (Jun 2022) dan Iran (September 2022) atas pelbagai alasan. Tahun lepas pula, bantahan muncul di Kenya dan Bangladesh selepas Perancis dan Israel pada 2023.
Tahun ini sahaja rusuhan atau pertembunan dengan polis tercetus dari Indonesia (bermula 25 Ogos) ke Nepal (8 September), dari Filipina (12 September) hingga Peru (20 September), dan dari Madagascar (25 September) ke Maghribi (27 September). Apakah begitu mendalam kekecewaan anak muda atau bantahan mereka sukar lagi dilakukan dengan aman?
Mungkin jawapannya ada dalam laporan Edelman Trust Barometer 2025 yang meninjau pendapat 33,000 responden di 28 buah negara, termasuk Malaysia. Apa hasil tinjauan ini, yang disimpulkan sebagai kegagalan institusi negara membengkak rasa tidak percaya dan meningkatnya rasa tidak puas hati?
61 peratus sangat dan sederhana kecewa pada institusi seperti kerajaan dan perniagaan yang dianggap menyusahkan hidup rakyat tetapi mengayakan elit.
Mereka yang paling kecewa itu tidak percaya lagi pada kerajaan, perniagaan, media dan badan bukan kerajaan (NGO).
40 peratus mewajarkan atau bersetuju tindakan keras diambil untuk menggerakkan perubahan. Antaranya: menyerang orang lain dalam talian, sengaja menyebarkan maklumat palsu, ugut atau sedia bertindak ganas, dan bersedia merosakkan harta awam atau orang persendirian.
Dalam laporan Youth, Protests and the Polycrisis (Mac 2024) terbitan tabung kanak-kanak UNICEF, tinjauan yang melibatkan hampir 1 juta orang di 128 negara dari awal 2000-an hingga 2017 mendapati: mereka yang berusia bawah 40 tahun lebih cenderung memilih aktiviti politik tidak formal berbanding mereka yang berusia lebih 40 tahun.
Mereka juga percaya media sosial berkesan untuk: membina kesedaran awam tentang politik, mengubah fikiran awam, menarik perhatian wakil rakyat dan mempengaruhi dasar di negara masing-masing.
Tetapi apakah media sosial, dengan bias algoritma seperti tulisan minggu lepas Jangan Baca Tajuk: Tiba Masa Kawal Media Sosial (Malaysiakini, 27 September 2025) dapat menjamin bantahan itu tidak bertukar ganas?
Atau, seperti banyak bantahan Gen Z akhir-akhir ini, rusuhan sudah tidak dapat dielakkan?
FATHI ARIS OMAR seorang peminat buku yang suka bersembang. Beliau boleh dihubungi melalui mesej peribadi di akaun Facebook.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/09/d7c32cbae2b44a025e4115745efaa47d.jpg)
