Biasanya senyap dan memerhati tetapi sesekali Amy Search mengusik, ia sesuatu yang sukar untuk dibiarkan.

Beliau seorang artis, tetapi pada masa sama insan yang gigih menyumbang kepada agama melalui institusi sekolah tahfiz yang diusahakannya.

Namun Amy lebih daripada itu. Amy adalah artis yang peka serta tidak begitu berteka-teki atau bersembunyi.

Kira-kira sejam tadi Amy vokalis kumpulan legenda menulis ringkas di Instagram dan Twitternya: " Respect !!! kita #bdkjohor"

 

Respect !!! 🙏🏼 kita #bdkjohor

A photo posted by Suhaimi A.Rahman > Amy Search (@akuamysearch) on

Jika tanpa sebarang imej, mesej berkenaan memang kurang bermakna, namun Amy memuat naik gambar kenyataan Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Ia adalah pandangan ahli politik itu mengenai isu semasa yang melanda kerajaan ketika ini.

Kata Mohamed Khaled, Umno kini tidak boleh lagi hanya menjadi pemerhati apabila bangsa (Melayu) bergelumang dengan kemiskinan dan jurang ekonomi.

"Umno tidak boleh berdiam diri kalau rasuah menjadi budaya atau amanah dikhianati," katanya di Facebook.

Amy beberapa kali menyatakan pandangannya - yang biasanya tidak bersifat kepartian - melalui media sosial.

Selain berminat dengan beberapa tokoh dalam Umno Amy juga pernah dilihat mesra dengan bekas Menteri Besar Kelantan, allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Johor menjadi perhatian sehari dua ini ekoran pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbalan perdana menteri.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengadakan pertemuan selama kira-kira sejam dengan Muhyiddin di Istana Bukit Serene di Johor Bahru.