Himpunan Baju Merah: Itu hak artis
Seseorang artis berhak menyatakan pendirian mereka mengenai sesuatu isu dan persatuan tidak boleh menghalang tindakan berkenaan.
Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zed Zaidi, berkata penyertaan artis dalam sebarang perhimpunan adalah isu kebebasan bersuara.
"Mengikut -undang demokrasi sebenar, rakyat berhak menyuarakan pendapat mereka tanpa rasa takut.
“Justeru sebagai artis, kami juga berhak mempunyai pendapat sendiri untuk menyokong pihak yang kami dirasakan benar," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
Sebagai Presiden SENIMAN, kata Zed, dia tidak menghalang seseorang artis menyertai mana-mana perhimpunan
Mengikut bahagian kedua Perlembagaan Persekutuan mengenai Kebebasan Asasi Fasal (1) (a) Perkara 10 menyatakan, setiap warganegara berhak bebas bercakap dan mengeluarkan fikiran.
Fasal (1) (b) pula menyatakan, semua warganegara berhak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata.
Komunikasi timbal balik
Berlandaskan akta berkenaan, Zed menggesa sesiapa saja rakyat negara ini yang ingin menyertai perhimpunan agar melakukannya mengikut sistem dan undang-undang negara dan bukan secara sembarangan.
Himpunan Rakyat Bersatu baru saja dijalankan pada 16 September lalu dan beberapa artis adalah antara pesertanya.
Antara artis yang ditemui Malaysiakini di perhimpunan itu ialah Liza Abdullah, Tengku Sarina Tengku Mukhzani (Kuna) dan Anne Abdullah.
Sebelum ini dalam himpunan BERSIH 4 beberapa selebriti menyatakan sokongan mereka kepada gerakan menuntut pembaharuan pilihan raya serta pentadbiran lebih baik itu.
Penyanyi Malaysia yang bertapak di Taiwan, Soo Wincci, serta selebriti Astro, Daiyan Trisha, adalah antara artis yang memberikan sokongan kepada BERSIH 4 yang diadakan pada 29 dan 30 Ogos lalu.
Ditanya mengenai pendapatnya mengenai himpunan baju merah itu, Zed berkata, manusia hidup dalam satu sistem komunikasi timbal balik.
Seandainya ada pihak menuduh seseorang melakukan kesilapan, katana, pihak yang dituduh harus bangkit dan menafikan sekiranya tidak bersalah dalam hal itu.
— Daiyan Trisha (@daiyantrisha) August 29, 2015
"Jika tiada penafian dilakukan, masyarakat akan menganggap pihak yang dituduh benar-benar bersalah," katanya.
Bagi Zed, himpunan baju merah itu juga dilakukan sebagai respons kepada BERSIH 4.
“Dari BERSIH 1 hingga BERSIH 3, tiada penafian daripada 'baju merah'. Hanya selepas BERSIH 4 baru ada. Itulah yang dianggap penafian. Cara yang sama tetapi himpunan itu menunjukkan kekuatan masing-masing.
“Yang itu (BERSIH) menuduh dan ini (baju merah) cuba menafikan,” katanya.
Zed juga tidak menafikan beliau akan turut berbuat perkara sama sekiranya dituduh melakukan sesuatu kesalahan.
“Bila saya dituduh, saya akan buat sidang media bagi membuktikan saya tidak bersalah. Ini sistem komunikasi dalam demokrasi. Ia ada timbal balik. Rakyat hendak menilai siapa yang benar atau salah itu terpulang kepada mereka,” katanya.

