Berhari raya tanpa suami , Datin Umie Aida Rahmad terpaksa melaluinya sama ada suka atau tidak.

Namun di sebalik kepiluan itu ada rakan yang tampil memberikan kata-kata ransangan supaya beliau tetap tabah menghadapi ujian hidupnya.

Salah seorang daripada mereka ialah pelakon Betty Benafe.

Kata penyanyi dan pelakon dari Johor itu, apa yang dihadapi Umi Aida adalah "harga sebuah perjuangan" oleh Datuk Seri Khaiduddin Abu Hassan.

"Harga sebuah perjuangan abang khai.. beraya di lokap lagi.. tabah ya sayang Umie Aida Rahmad," katanya di Facebook.

Bebas hanya seketika

Mengiringi kata-kata semangat itu adalah sekeping gambar berkumpulan yang turut disertai Umi Aida, Khairuddin, Betty dan kakak Umi Aida, Erma Fatima.

Gambar itu dipercayai milik Pengarah Urusan Kuasatek (M) Sdn Bhd, Mohd Noor Kadir.

Khairuddin adalah bekas Naib Ketua Umno Batu Kawan di Pulau Pinang. Beliau dilucutkan jawatan itu selepas diisytihar muflis.

Ahli perniagaan itu ditahan reman oleh polis pada Satu lalu dan sepatutnya dibebaskan semalam.

Bagaimanapun Khairuddin dibebaskan sehari lebih awal di Kompleks Mahkamah Jalan Duta sebelum ditangkap semula mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 yang lebih dikenali sebagai Sosma.

Mengikut Sosma seseorang boleh ditahan selama 29 hari tanpa perlu dibawa ke mahkamah untuk menghadapi sebarang pertuduhan.

Mohd Noor sendiri memuat naik gambar berkenaan semalam bersama keterangan mengenai imej berkenaan.

Menurut Mohd Noor gambar itu dirakamkan di majlis rumah terbuka sempena Aidilfitri oleh pasangan Umie Aida dan Khairuddin.

"Hiba melihat wajah Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang tak dapat beraidiladha bersama keluarga. Hiba melihat dugaan yang dilalui pasangan ini. Harga sebuah perjuangan," katanya.

Umie Aida sendiri semalam mengemas kini status Facebooknya dengan memuat naik klip video pendek mengenai suasana di Padang Arafah. Bersama klip video itu adalah ucapan ringkas beliau sempena hari raya: "Selamat hari raya Adiladha.. Maaf zahir batin".

Selamat hari raya Adiladha..maaf zahir batin.

Posted by Umie Aida Rahmad on Wednesday, September 23, 2015