Keluhan pemenang hadiah sastera Selangor terjawab
Janji ditepati - lebih kurang begitulah. Pemenang anugerah Hadiah Sastera Selangorkini akhirnya menerima wang yang dijanjikan penganjur selepas tertangguh beberapa minggu.
Beberapa pemenang utama dan saguhati mengesahkan perkara itu kepada Malaysiakini malam tadi.
Pemenang kategori cerpen, Roslan Jomel, memberitahu kira-kira jam 8 malam tadi wang berkenaan sudah ada dalam akaunnya selepas diapungkan sejak Rabu sebagai sebahagian daripada proses pemindahan antara bank.
Arafat Hambali yang memenangi hadiah utama kategori sajak pula menyatakan seorang pegawai kerajaan negeri menghubunginya memaklumkan mengenai kemasukan cek ke akaun pada 30 Disember.
Mengulas mengenai isu itu Karl Agan (
gambar
) yang menjadi pemenang utama kategori rencana berkata, dia menghargai kesungguhan penganjur kerana menyelesaikan kekusutan berkenaan akhirnya.
"Perlu ditegaskan sekali lagi, keluhan kami bukan mengenai soal wang hadiah semata tetapi soal keberkesanan komunikasi dan penyampaian maklumat kepada pemenang.
"Apabila kita mahu memartabatkan seni dan sastera, ia bukan sekadar melibatkan ungkapan tetapi juga kesungguhan. Selangorkini mengungkapkan keinginannya, juga menunjukkan kesungguhan ke arah itu. Syabas.
"Kita semua kesal urusan hadiahnya kurang lancar. Biarlah ini jadi titik permulaan untuk semua yang terlibat - sama ada penulis atau penganjur - agar lebih teliti dalam tugas masing-masing," katanya.
Sijil salah, tanpa tandatangan
Arafat (
kanan
) pula menyatakan kelegaan selepas beberapa minggu tertanya-tanya mengenai nasib orang sepertinya.
"Cuma saya berharap tiada lagi kejadian yang ketiga buat kerajaan Selangor selepas isu lukisan Pak Samad (Datuk A Samad Said) dan Hadiah Sastera Selangorkini.
"Biarlah tahun baru ini menjadikan kerajaan negeri lebih cekap.
"Sebagai sebuah kerajaan Selangor mesti menunjukan mereka lebih integriti, bertanggungjawab dan menepati janji," katanya.
Isu anugerah Hadiah Sastera Selangorkini menjadi perhatian selepas ketiga-tiga pemenang utama serta beberapa pemenang saguhati melahirkan rasa kecewa mereka terhadap kelewatan penerimaan wang yang dijanjikan penganjur.
Selain kelewatan itu, sebahagian finalis juga menerima sijil penghargaan salah.
Semua sijil berkenaan juga tidak ditandatangani sehinggalah pada malam pengumuman keputusan dibuat pada 8 Disember lalu.
Jangan jadi nisan
Kerajaan negeri kemudian berjanji untuk menyelesaikan isu wang penghargaan berkenaan - dengan nilai keseluruhan RM27,000 - sebelum 2015 berakhir.
Pemenang saguhati kategori rencana, Najmuddin Yusoff, berpendapat memang diakui ada ketikanya wang untuk pemenang pertandingan penulisan diberi lewat.
Katanya, keadaan itu dapat dilihat terutama jika ia membabitkan prosedur di peringkat jabatan kerajaan.
"Cuma kita perlu ingat, Selangor ditadbir oleh kerajaan Pakatan yang bercita-cita mahu mentadbir negara.
"Bagaimana Pakatan mahu membuktikan kecekapan mengurus dana negara bernilai berbilion ringgit jika isu RM27,000 pun masih kelihatan cemerkap?
"Selangor perlu buktikan mereka betul-betul cekap dan mampu menjadi pentadbir yang baik," katanya.
Najmuddin juga kesal kerana ketika ini tiada lagi karya sastera seperti cerpen dan sajak tiada lagi diterbitkan dalam akhbar mingguan kerajan negeri, Selangorkini.
"Harap-harap janganlah hadiah yang kami menangi ini menjadi batu nisan kepada seni dan budaya dalam Selangorkini," katanya.

