Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Sekeping tiket berharga RM5,000 namun hanya selepas beberapa hari jualan dibuka, sebanyak 100 unit habis terjual.

Semuanya untuk konsert Raja dan Rakyat Berpisah Tiada yang dijadual diadakan di Istana Budaya pada 27 Februari ini.

Selain tidak menyangka dengan sambutan hangat itu, penaung diraja konsert berkenaan, Datuk Seri Tengku Kamaruzzaman Sultan Abu Bakar turut bersyukur dengan perkembangan berkenaan.

“Dengan sambutan luar biasa begini, ia sekali gus memartabat kedudukan Istana Budaya sebagai panggung bertaraf dunia.

“Diharapkan, persembahan kali ini yang menampilkan gaya dan kepakaran teknologi pentas yang terkini dari dalam dan luar negara dapat benar-benar memukau penonton yang hadir,” katanya di sidang media pengumuman konsert berkenaan di Istana Budaya semalam.

Konsert berkenaan menggabungkan tujuh daripada penyanyi terbaik - dengan setiap seorang pernah menerima anugerah Datuk daripada Sultan Pahang.

Mereka ialah Datuk Jamal Abdillah, Datuk Hattan, Datuk David Arumugam, Datuk Leonard Tan, Datuk Yusni Hamid ( gambar ), Datuk Siti Nurhaliza dan penyanyi dari Indonesia, Datuk Rossa.

Menariknya, persembahan itu bukan semata-mata berbentuk nyanyian dan hiburan, sebaliknya disuntik dengan nilai tambah lain seperti pameran sejarah Kesultanan Pahang yang boleh dihayati di ruang legar Istana Budaya antara 24 hingga 27 Februari ini.

Menurut Tengku Kamaruzzaman, pameran sebagai medium memaklumkan masyarakat mengenai kepentingan dan sumbangan institusi beraja dalam pembinaan masyarakat di Malaysia.

“Kami berharap usaha ini bukan saja dapat mempertingkat ilmu pengetahuan masyarakat mengenai sejarah Kesultanan Pahang, bahkan mempelajari sejarah negara secara amnya.

“Kita perlu mengetahui sejarah kerana untuk berjaya, kita perlu belajar daripada sejarah,” katanya.

Pameran selama empat hari itu dibuka secara percuma bermula dari jam 9 pagi hingga 5 petang.

Persembahan dua dalam satu itu diadakan sempena meraikan ulang tahun keputeraan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah yang ke-85.

Sebagai rekod, harga tiket konsert berkenaan mengalahkan harga untuk persembahan pemain piano terkemuka dunia, Richard Clayderman pada 31 Mac dan 1 April ini.

Sebahagian daripada tiket konsert String Ensemble Live in Istana Budaya dengan iringan Orkestra Simfoni Kebangsaan itu dijual pada harga RM2,500 sekeping.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS