Hoffman: Rasis di Oscar wakili wajah sebenar AS
Bukan selebriti bukan kulit putih saja yang berasa Oscar sentiasa dibayangi sentimen perkauman di AS.
Kali ini pemenang Oscar dua kali Dustin Hoffman turut berpendapat isu perkauman dan warna kulit sudah mengakar dalam penilaian Anugerah Acedemy itu sejak sekian lama.
Kata Hoffman, masalah perkauman itu berlangsung secara sistematik dan tidak sekadar untuk pengiktirafan Oscar semata-mata malah lebih daripada itu.
"Ia sentiasa begitu. Tak ada apa-apa yang baru dan seperti kata Chris Rock (hos Anugerah Academy pada Isnin lalu), mengapa baru kini (dibangkitkan)?" katanya.
Pemenang anugerah pelakon lelaki terbaik melalui Kramer vs Kramer pada 1979 dan Rain Man (1988) itu sendiri tidak menghadiri majlis Oscar di Los Angeles itu atau menontonnya di televisyen.
Tidak seperti kebanyakan orang yang tertunggu-tunggu pengumuman pemenang Oscar, Hoffman sebaliknya menyaksikan perlawanan bola keranjang di antara New York Knicks dengan Miami Heat di Madison Square Garden di New York.
"Di sana saya nampak Spike Lee yang berpakaian lengkap untuk ke Oscar," katanya kepada AP semalam.
Puji kumpulan indie
Sebelum itu dia menghadiri perasmian panggung wayang Metrograph - pawagam milik persendirian pertama dibukan di Manhattan sejak lebih 10 tahun lalu.
Lee adalah salah seorang penerima anugerah kehormat Oscar ke-88 yang dilangsungkan pada malam Ahad (waktu tempatan) lalu. Lee bagaimanapun memulaukan majlis berkenaan.
Seorang lagi pelakon kulit hitam yang ada dalam senarai Oscar, Tracy Morgan, juga berada di stadium berkenaan.
Untuk tahun kedua berturut-turut, senarai pencalonan Oscar menampakkan dominasi kulit putih .
Ketika pembukaan acara Rock sempat memperkatakan kontroversi itu.
"Ini adalah Anugerah Academy ke-88, bermakna pencalonan yang tidak membabitkan tokoh kulit hitam sudah berlangsung sekurang-kurangnya 71 kali," katanya.
Hoffman tidak berselindung ketika ditanya mengapa keadaan itu berlaku sekian lama.
"Oscar sentiasa dipengaruhi perkauman . Ia adalah gambaran keseluruhan negara AS," katanya.
Menurut Hoffman, orang ramai menggelar era kemuncak dia berlakon dulu sebagai zaman kegemilangan.
"Tapi saya rasa zaman itu masih ada, cuma ia dijayakan kumpulan indie. Dan saya rasa memang itulah gunanya pawagam," katanya.

