Biasanya media melaporkan beberapa selebriti terkenal menzahirkan rasa kurang senang mereka kepada calon Republikan untuk pilihan raya presiden AS Donald Trump.

Antara artis yang tidak bersikap mesra dengan Trump ialah vokalis Aerosmith, Steven Tyler, Rolling Stones serta penyanyi solo British, Adele.

Kedua-dua penyanyi itu mengarahkan pasukan Trump berhenti menggunakan lagu mereka dalam kempen bagi menarik undi penduduk AS.

Dengan persepsi itu Trump mengumumkan niatnya menganjurkan persembahan muzik di Konvensyen Kebangsaan Republikan yang berlangsung selama empat hari pada Julai nanti.

Pada pertimbangan Trump, hiburan secara langsung itu bermanfaat untuk melegakan peserta yang perlu menghadiri banyak ucapan politik.

"Konsep yang saya fikirkan ialah, perjalanan konvensyen itu turut member ruang untuk hiburan daripada penyanyi hebat, kumpulan hebat semua orang dapat berehat seketika daripada politik," katanya.

Jika ia menjadi kenyataan, berikut adalah beberapa nama yang dianggap berpotensi dijemput untuk menghiburkan Trump serta penyokongnya.

Aaron Carter

Walaupun tiket untuk konsertnya selalu gagal habis dijual Carter, 28, mungkin boleh mendapat 'pentas' baru jika bersetuju menerima pelawaan Trump. Bintangnya pula tentu lebih cerah jika ditakdirkan Trump benar-benar dipilih rakyat AS menjadi presiden mereka.

Adik kepada anggota kumpulan Backstreet Boys, Nick Carter itu pernah menyatakan secara terbuka menyokong Trump tetapi bertukar fikiran selepas dikutuk teruk.

"Kini saya berasa seolah-olah saya tidak akan mengundi langsung nanti," katanya.

Hari ini portal Us Weekly melaporkan Carter memang menghadapi masalah kewangan.

Dalam siri televisten Life Or Debt pula, Carter mendedahkan dia dijerut hutang ketika mencari tapak sebagai artis pada 1990-an.

Tahun lalu dia mengemukakan permohonan di mahkamah supaya diisytihar muflis dan kini dibebani hutang lebih AS$100,000.

Untuk makluman Trump dikenali sebagai ahli perniagaan kaya-raya sebelum mengumumkan keputusannya untuk menyertai politik secara langsung melalui pilihan raya presiden.

Kid Rock

Bercakap kepada majalah Rolling Stone, Rock memberitahu cara kempen Trump "sangat menghiburkan"

Penyanyi kelahiran Michigan itu juga mengagumi pendekatan perniagaan diambil Trump.

"Mari bersama-sama kita memberi peluang kepada ahli perniagaan memimpin AS. Nampaknya negara kita tidak begitu berjaya apabila diurus bukan sebagai sebuah perniagaan," katanya.

Pada 2012 Rock mengumumkan menyokong calon Republikan ketika itu, Mitt Romney yang kemudian kalah kepada Barack Obama.

Selain berpolitik gabenor Massachusetts untuk tempoh 2003 hingga 2007 itu juga dikenali sebagai ahli perniagaan.

Loretta Lynn

Dipercayai tiada masalah untuk Loretta hadir membantu Trump. Malah penyanyi dan penggubah lagu irama country itu pernah membayangkan Trump akan bertanding merebut jawatan presiden sejak Disember tahun lalu.

Bercakap kepada portal hiburan Billboard, Loretta, 84, juga meramalkan Trump akhirnya akan menjadi presiden AS.

Azealia Banks

Seperti Trump, penyanyi rap ini bersikap lantang dan pernah kepanasan kerana kata-katanya yang tidak berlapik.

Pada Februari lalu Azealia, 24, menulis siri tweet menyatakan sokongan terbuka kepada Trump.

Antara ayat digunakan Azealia ialah: "Saya rasa keDonald Trump jahat, sama seperti AS. Untuk AS melindungi kita, apa yang diperlukan ialah dia (Trump)."

Cuma ada satu masalah. Nama Azealia lebih dikenali kerana tweet yang ditulisnya berbanding lagu yang dinyanyikannya.

Wayne Newton

Bagi penghibur bergelar Mr Las Vegas ini, setiap kali dia terkenang Trump, dalam kepalanya terngiang-ngiang lagu didendangkannya, Danke Schoen (Terima Kasih Banyak-banyak).

Danke Schoen adalah lagu dirakam oleh pemimpin orkestra dan penggubah lagu dari Jerman, Bert Kaempfert, pada 1962. Newton kemudian merakam semula lagu itu dalam versi baru setahun kemudian dan menjadi popular apabila muncul dalam filem komedi terbitan 1986, Ferris Bueller's Day Off.

Kata Newton, rakyat AS perlu menyokong Trump sebagai pemimpin mereka.

"Pertama, Trump bercakap benar. Kedua, kerana dia sudah melalui pelbagai pengalaman yang belum ditempuh calon lain. Dia tidak perlu risau di hotel mana dia akan menginap, bagaimana keluarganya akan bercuti ke Hawaii dan sebagainya," kata penyanyi berusia 74 tahun itu.

Tila Tequila

Tila, 34, mungkin paling diingati kerana pembabitannya dalam siri realiti televisyen mengenai hubungan romantik antara jantina - dan sejenis - serta omelannya yang bersifat anti-Yahudi.

Memang Tila seorang penyanyi (walaupun bukanlah penyanyi yang bagus).

Sebelum ini selebriti kelahiran Singapura itu memang memuji-muji Trump. Kedua-dua mereka juga pernah mengundang kontroversi.

Trump menggelar penduduk Latin AS dari Mexico sebagai "pembunuh" serta "perogol" manakala Tila pula menggelar Adolf Hitler sebagai "seniman angat pintar".

Ted Nugent

Di Facebook Nugent, 67, menulis: "Mengenainya Donald Trump adalah penyangak yang dipelukan AS sejak sekian lama dulu."

Nugent mencipta nama sebagai gitaris utama kumpulan Amboy Dukes. Selepas popular dia meneruskan kerjaya sebagai penyanyi solo.

Selain memiliki pandangan konservatif dalam politik Nugent juga menyokong hak pemburu serta pemilikan senjata api di kalangan orang awam.

Ketika ini Nugent adalah ahli lembaga Persatuan Raifal Kebangsaan (NRA) - sebuah pertubuhan yang memperjuangkan hak memiliki senjata api di AS.

Untuk makluman Trump, 69, sedang bersaing dengan Ted Cruz, 45, dan John Kasich, 63, untuk terpilih menjadi calon Republikan dalam pilihan raya presiden yang dijadual hujung tahun ini.

Pemenang bagi pemilihan parti akan mewakili Republikan berdepan calon daripada parti Demokratik, sama ada Hillary Clinton, 68, atau Bernie Sanders, 74.

Elton John dan Katy Perry sebelum ini muncul di pentas Demokratik untuk membantu Hillary, manakala antara penyokong Sanders pula ialah penyanyi blues, Bonnie Raitt serta Flea (Red Hot Chili Peppers).