Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Yazid nak ajar Search 'cara hormati orang lain'

Belum pun berakhir tempoh 48 jam diberikan semalam, pemain dram Search, Yazid, hari ini menegaskan dia tidak akan meminta maaf seperti dituntut mereka.

"Saya tidak rasa ia satu tindakan relevan.

"Dalam laporan polis dibuat sebelum ini, saya langsung tidak memburukkan nama dia (vokalis Search, Amy) apa lagi mencemar reputasi dan sekolah tahfiznya," katanya di sidang media di di Hotel GTower di Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir isteri Yazid, Ramlah Ahmad, dan peguam Mohamad Saiful Dzulhelmi Zulkifli.

Menurut Yazid, walaupun diberi tempoh 48 jam untuk meminta maaf secara terbuka, dia tidak menganggap permohonan itu perlu dilakukan.

Sebaliknya, kata Yazid, akan ke balai polis sekali lagi untuk membat laporan tambahan kepada aduan asal dilakukannya pada 4 Mei lalu.

"Sekiranya dia (memohon) waran tangkap dikeluarkan saya sudah bersedia. Sila buktikan saya bersalah.

"Laporan pecah amanah akan diteruskan petang ini. Saya ingin mengajar Search cara menghormati," katanya.

Keliru kesalahan dilakukan

Semalam Search mengadakan sidang media untuk menjelaskan keadaan mereka ekoran laporan polis dibuat Yazid pada 4 Mei lalu.

Melalui laporan polis berkenaan Yazid mendakwa Search melakukan pecah amanah ekoran isu pembahagian bayaran penaja untuk konsert mereka.

Sehubungan itu Search menuntut Yazid menghentikan kenyataan bersifat fitnah dan membuat permohonan maaf secara terbuka dalam tempoh 48 jam.

Kegagalan berbuat demikian memungkinkan Yazid dikenakan tindakan lanjut.

Kata Yazid, dia "keliru" kerana tidak memahami apakah kesalahan yang dilakukannya terhadap Search.

Yazid juga mendakwa pada peringkat awal memorandum persefahaman (MoU) antara Search dan penaja konsert mereka, Afjets Sdn Bhd, ada lima nama dimasukkan.

Bagaimanapun, kata Yazid, ia kemudian menjadi empat saja selepas "ada pihak" mencadangkan supaya namanya dikeluarkan.

Mengenai bayaran daripada Afjets, Yazid berkata dia gembira kerana menyangka ia adalah ganjaran peringkat pertama untuknya kerana terbabit dalam konsert 35 Tahun Search.

Rasa disisih sejak sakit

Yazid hanya mengetahui kemudian bahawa ia sebenarnya adalah bayaran kedua kerana bayaran pertama sudah dibuat tanpa pengetahuannya.

"Saya juga baru mengetahui ahli lain Search menerima bayaran pertama pada 25 Disember lalu. Jadi mana bahagian saya?" tanyanya.

Yazid mendakwa, sejak mengidap penyakit buah pinggang beberapa tahun lalu Search sudah mula mengabaikan kedudukannya sebagai salah seorang anggota kumpulan itu.

"Konflik bermula sejak konsert Search diadakan di Istana Budaya sebelum ini lagi, saya mulai disisihkan.

"Konflik kedua apabila bermulanya soal pembayaran untuk Konsert Search 35 Tahun yang bakal diadakan di Sepang pada 30 Ogos nanti," katanya.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Afjets Amrul Nizar Anuar berkata memang ada lima nama pada MoU asal tetapi nama Yazid dikeluarkan ketika dokumen akhir diserahkan semula kepadanya.

"Pada 25 Disember lalu bagi bayaran pertama sebanyak RM75,000 telah dijelaskan.

"Saya difahamkan oleh Search ketika itu wang berkenaan akan dibahagi sama rata kepada kelima-lima ahli.

"Bagaimanapun, selepas itu saya mendapat tahu Yazid belum menerima sebarang bayaran.

"Disebabkan hal itu, saya mengeluarkan RM10,000 untuk setiap ahli dan kali ini ia diberikan melalui cek setiap satu bagi mengelak timbul salah faham," katanya.

Amrul juga berkata, dia tidak menyangka timbul konflik sesama anggota kumpulan Search selepas pihaknya membuat pelaburan besar bagi menjayakan konsert Ogos nanti.

"Selaku penganjur kami terkilan malah bimbang isu ini akan menjejaskan penjualan dan sambutan tiket konsert.

"Kami berharap isu ini akan diselesaikan dengan kadar segera," katanya.

Lihat Komen
ADS