Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Rajinikanth bercuti, pelancaran Kabali ditunda
Diterbitkan:  Jun 8, 2016 2:37 PM
Dikemaskini: 7:32 AM

Tayangan filem terbaru Rajinikanth, Kabali, dilaporkan ditunda atas sebab yang tidak dijelaskan, lapor media hari ini.

Filem arahan Pa Ranjith itu pada asalnya dijadual mula ditayangkan kepada umum pada 1 Julai ini namun sumber berkata ia terpaksa ditangguhkan selama dua minggu.

Walaupun tiada alasan diberikan namun laporan News Minute mengenai Rajinikanth mungkin memberi sedikit bayangan punca penangguhan berkenaan.

Portal itu menyebut Rajinikanth sedang bercuti di AS dan pelakon terbabit tiba-tiba memutuskan untuk memanjangkan tempohnya berehat di sana.

Keputusan itu juga mendorong penerbit Kalaipuli S Thanu membatalkan rancangan membuat pelancaran besar-besaran album runut bunyi Kabali yang sepatutnya diadakan pada 12 Jun ini.

 

 

Kabali mempertemukan Rajinikanth dan Dinesh Ravi. Sebahagian besar filem itu dirakam di Malaysia bermula Ogos tahun lalu, manakala selebihnya di Chennai, Bangkok dan Hong Kong.

Pelakon Malaysia Datuk Rosyam Nor adalah seorang daripada pelakon filem berkenaan dan membawa watak penjahat.

Bagi peminat Rajinikanth penangguhan berkenaan pasti mengecewakan kerana perlu menunggu lebih lama bagi menyaksikan hero mereka beraksi di layar lebar.

Rajinikanth sangat dihormati dan dipuja ramai, sehingga ada sebahagian daripada mereka rela berhabisan untuk menunjukkan rasa sayang mereka kepada pelakon berusia 65 tahun itu.

Pada hujung Mac lalu sebuah mahkamah mengeluarkan perintah melarang peminat fanatik Rajinikanth membazirkan susu melakukan ritual keagamaan bagi meraikan kejayaan dicapai aktor terbabit.

Perintah itu dikeluarkan ekoran permohonan seorang aktivis sosial, Dr I M S Manivannan yang meminta mahkamah mengarahkan Rajinikanth memberi nasihat kepada peminatnya supaya tidak melakukan ritual berkenaan.

Permohonan itu dibuat dengan alasan "demi kepentingan keadilan dan kesaksamaan".

Di sebalik berita 'duka' itu kekecewaan peminat boleh terubat dengan kemunculan poster baru Kabali.

Pada poster berkenaan Rajinikanth dilihat sedang bergaya dengan latar belakang beberapa pemuda melompat.

Lihat Komen
ADS