Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Trump The Apprentice pecat pengurus kempen
Diterbitkan:  Jun 21, 2016 3:16 PM
Dikemaskini: 9:01 AM

Mungkin seperti babak dalam siri realiti The Apprentice, hartawan dan ahli politik kontroversi Donald Trump mengungkapkan kalimah 'keramat' "You're fired!" kepada pengurus kempennya, Corey Lewandowski.

Media hari ini melaporkan Trump - yang meraih populariti dengan pendekatan kempen keras dan keterlaluan - membuat keputusan itu selepas mendapat desakan pelbagai pihak.

Dan antara orang yang kuat mendesak Trump membuat penyesuaian kempen bagi menyaingi pesaing mereka, Hillary Clinton dari Parti Demokratik, ialah anak hartawan itu sendiri, Ivanka Trump.

Ekoran pemecatan Lewandowski kem Trump mengumumkan akan berlaku rombakan besar-besaran dalam struktur organisasi itu menjelang pemilihan presiden AS akhir tahun ini.

Pelbagai media memang melaporkan Ivanka, 34, begitu lantang mengecam strategi Lewandowski sejak beberapa bulan lalu.

Lebih memburukkan keadaan ialah perseteruan di antara Lewandowski dengan suami Ivanka, Jared Kushner, yang memang mempunyai pengaruh besar di belakang tabir Trump.

Sumber memberitahu CNN di sebalik tugasnya mengurus kempen Trump, Lewandowski juga cuba menjalankan gerakan memburuk-burukkan Kushner di media massa.

Sama seperti Trump yang menjadi 'bos' siri The Apprentice, Ivanka dan Kushner adalah tokoh berprofil tinggi di AS.

Anak, menantu tak suka

Jika Ivanka dikenali sebagai penulis, usahawan dan bekas model, Kushner, 35, adalah ahli perniagaan serta pelabur berpengaruh.

Dia juga memiliki syarikat penerbitan yang mengeluarkan The New York Observer.

Kata sumber seorang lagi anak Trump, Eric, 32, sudah tidak dapat bersabar lagi dengan Lewandowski dan mengadu terus kepada bapanya.

Kelmarin Ivana duduk berbincang secara langsung dengan Trump dan meyakinkan bapanya supaya memecat Lewandowski.

"Ivana malah memberi kata dua kepada Trump untuk memihak kepadanya atau Lewandowski," katanya.

Selepas ketiadaan Lewandowski, Kushner disebut-sebut menjadi watak utama menggerakkan baki kempen Trump dalam usaha mereka menguasai Rumah Putih.

Sementara itu Lewandowski hari ini menafikan wujud ketegangan antara dirinya dan anak-anak Trump.

Malah kata Lewandowski hubungan mereka digambarkan begitu baik.

Pemecatan itu pula dilaporkan langsung tidak dijangka Lewandowski. Dia menjemput kakitangan Jawatankuasa Pusat Republikan hanya beberapa jam sebelum dia dimaklumkan mengenai keputusan Trump.

Kata sumber penyingkiran Lewandowski itu juga membayangkan pengakuan kem Trump bahawa apa yang dirangka mereka untuk menarik hati pengundi tidak berjalan lancar.

Sepanjang kempennya menjadi presiden AS, Trump sering mengundang kemarahan ramai, termasuk dasar berseteru dengan umat Islam dan warga asing di negara berkenaan.

Sejumlah selebriti sudah menyatakan bantahan terbuka mereka terhadap pendekatan keras Trump.

Lihat Komen
ADS