Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan

Bakat diiktiraf melalui anugerah pelakon lelaki Terbaik pada festival filem sememangnya membuat pelakon Zahiril Adzim tidak lupa memanjatkan kesyukuran.

Tetapi kemenangan itu akan lebih mengujakan Zahiril, 32, sekiranya Pekak mampu menjadi pendorong buat pembikin karya tempatan untuk tampil lebih kreatif dan bebas dalam menghasilkan sesebuah karya.

“Alhamdulillah segala penat-lelah berlakon dan kredibiliti diperakui di luar negara, itu adalah rezeki yang tidak terhingga buat saya.

“Apabila Pekak memenangi anugerah, diharap pengkarya tempatan lain tidak lagi takut untuk mengekspresikan karya mereka dengan isi kandungan yang berat.

“Diharap pembikin filem mengeluarkan hasil lebih bagus selepas ini untuk menaikkan nama negara pada mata orang luar,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Zahiril yang memegang watak sebagai Uda memenangi anugerah itu pada Festival Filem Antarabangsa Motivasi (IMFF) Bridge of Arts yang berlangsung pada 24 hingga 28 Ogos lalu di Rostov-on-Don, Russia.

Selain Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik, Pekak turut memenangi Anugerah Skrip Terbaik yang ditulis oleh Mohd Khairul Azri Md Noor.

Mohd Khairul juga bertindak selaku pengarah filem berkenaan.

Si cacat pendengaran edar dadah

Pekak mengisahkan kesusahan hidup dialami Uda - pemuda yang mengalami kecacatan pendengaran - yang terpaksa menyara hidup dengan mengedar dadah. 

Pelakon yang turut menjayakan Pekak ialah Sharifah Amani, Sharifah Sakinan, Zaidi Omar, Iedil Putra dan Amerul Affendi.

Biarpun namanya diangkat sebagai pemenang Anugerah Pelakon Terbaik, Zahiril pada mulanya seakan tidak dapat mempercayai seandainya perkara itu benar-benar terjadi.

Pelakon yang namanya meningkat naik selepas membintangi drama Juvana itu berkata, dia terpaksa memeriksa dua, tiga kali seandainya kemenangan adalah miliknya memandangkan karya yang turut tercalon bukanlah calang-calang filem.

Katanya, dari menonton trailer saja sudah dirasakan hebat apatah lagi peserta yang menyertai pertandingan itu pula datangnya dari negara seperti Itali, India, Cina dan Bulgaria.

Sementara itu, Zahiril beranggapan ada perkara lain yang perlu diutamakan selain perasaan bangga merangkul sebuah anugerah.

Menurutnya, Pekak dianggap lebih berjaya sekiranya ia dapat menimbulkan kesedaran dalam hati masyarakat berhubung masalah sosial.

“Memang tidak pernah terlintas di hati sebelum ini berlakon dalam sesebuah filem hanya semata-mata untuk memenangi anugerah.

“Kerana bagi saya, perkara paling diutamakan adalah kisah dipaparkan dalam Pekak mampu diterima, dipersetujui dan dijadikan iktibar oleh masyarakat,” katanya.

Lihat Komen
ADS