Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Pekak bukan seperti Munafik, kata pengkritik filem

Terlalu mudah paranoid, begitulah masalah segelintir masyarakat Malaysia dalam menilai karya bermesej seperti Pekak, kata pengkritik filem Hassan Muthalib.

Menurut Hassan, untuk memahami Pekak, para penonton perlu mendalami isi kandungan yang tidak dijelaskan secara nyata oleh pengarah.

“Filem Pekak bukan seperti Munafik yang jalan ceritanya lebih berterus-terang.

“Ada begitu banyak perkara tersirat yang dipaparkan menerusi watak utamanya Uda, itupun kalau filem berkenaan ditonton sampai habis,” katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Pekak memaparkan kisah Uda lakonan Zahiril Adzim sebagai seorang pemuda yang cacat pendengaran dan menyara hidup dengan mengedar dadah.

Filem yang memulakan tayangan pada 1 September lalu turut menampilkan barisan pelakon seperti Sharifah Amani, Sharifah Sakinah, Amerul Affendi dan Joe Flizzow.

Meskipun ini adalah buah tangan Mohd Khairul Azri Md Noor yang pertama sebagai pembikin filem, Pekak sudah pun berjaya mendapat pengiktirafan dari negara luar seperti Rusia.

Sungguhpun Rusia menganugerahkan filem berkenaan dengan Skrip Asal Terbaik dan Pelakon Lelaki Terbaik (Zahiril), Pekak baru-baru ini diharamkan pula dari menjengah pawagam di Brunei.

Malah di negara sendiri, Pekak dilaporkan sebuah portal hiburan mendapat tentangan Persatuan Ibu Bapa Anak Masalah Pendengaran Malaysia (Hear Me) atas dakwaan ia mencemarkan maruah OKU.

Menurut Hassan, tidak perlu timbul perasaan gelisah dan bimbang dengan Pekak kerana filem itu bukanlah ‘dilahirkan kosong’ - dihasilkan tanpa perlu mewujudkan inisiatif - untuk menyemai kesedaran pada penonton.

“Hanya penonton yang tiba ke babak penghujung sedar watak Uda menerima pembalasan akibat tindakan dan kesalahan sendiri, itulah mesej yang tersirat!

“Malah saya sebagai bapa turut terkesan dan mulai cenderung untuk memerhatikan gerak-geri anak saya selepas ini,” katanya.

Sementara itu, menurut penulis skrip Tulus Ikhlas Al Jafree Md Yusop, Pekak sepatutnya tidak menimbulkan sebarang masalah.

Seperti Pekak, Tulus Ikhlas turut menonjolkan watak OKU cuma pada sisi berbeza.

Katanya, pengarah mempunyai sebab tersendiri dalam mengetengahkan watak dengan cara tertentu terutama dalam menyampaikan wadah kepada penonton.

“Dalam menghasilkan filem tiada istilah hitam putih atau garisan jelas untuk tonjolkan sesuatu watak baik mahupun jahat.

“Setiap manusia mempunyai sisi gelap masing-masing, tetapi tidak ditunjukkan dan perkara itu ditonjolkan dalam seni,” katanya.

Lihat Komen
ADS