Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan

Begitu banyak kontroversi dan tanda tanya pada pelakon Adi Putra, dan dia selalunya ada jawapan apabila bertemu petugas media yang inginkan penjelasan.

Ketika pelbagai cerita peribadinya diburu, Adi Putra - secara berseloroh - mencadangkan supaya sesiapa yang ingin tahu maklumat sebenar supaya berkahwin dengannya.

“Itu rahsia, kalau nak tahu kena kahwin dengan saya,” katanya.

Sejak perkahwinan kedua Adi Putra dengan wanita bernama Nor Shahida Zolkifly, 33, diketahui umum Julai lalu, wajah isterinya itu tidak pernah dikongsi secara ‘rasmi’ di mana-mana akaun media sosial milik aktor terbabit.

Untuk makluman, berita Adi Putra berkahwin secara mengejut mencetuskan kontroversi pada 16 Julai lalu.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan Adi Putra membuat pengakuan bahawa dia telah bernikah dengan Nor Shahida di rumah kediaman wanita berkenaan pada 20 Jun lalu.

Selepas diasak dengan soalan lebih lanjut Adi Putra menjelaskan alasannya enggan berkongsi imej isteri kedua kerana berasakan dia tidak mahu melukakan hati sesiapa.

Adi Putra - atau nama penuhnya Mohamed Hadi Putera Halim, 35 - ditemui pada sidang media memperkenalkan poster raksasa filem Hanyut di Kuala Lumpur semalam.

Dia adalah salah seorang pelakon filem arahan U-Wei Saari itu. Hanyut dijadual mula ditayangkan pada 24 November ini.

Adi Putra mendirikan rumah tangga dengan isteri pertama, Aida Yusof, 41, pada 14 April 2006 sebelum dia memfailkan permohonan perceraian pada 11 Mei 2012.

Bagaimanapun mereka kemudian memilih untuk membatalkan proses berkenaan.

Bagi Adi Putra, "cukup-cukuplah" dirinya dikaitkan dengan pelbagai cerita tidak enak sebelum ini.

Di mana alir air di situ diikut

Katanya, jika hendak diceritakan secara keseluruhan mengenai situasi dialami, ia umpama membuka pekung di dada selain menyemarakkan lagi perkara yang tidak wajar.

“Media sosial senjata paling tajam, kerana hanya dengan gambar ia boleh mengundang banyak kejadian.

“Lebih baik dekatkan diri dengan air daripada api,” katanya berkias.

Adi Putra berkata dia mengambil pendekatan air kerana mengikut resam, ia mengalir mengikut arah tertentu dan arusnya tidak perlu dilawan.

Begitulah juga pandangan Adi Putra terhadap persoalan jika kedua-dua isterinya itu dipertemukan.

“Biarkan ia mengikut ketentuan. 

“Saat ini tidak boleh merancang jauh, nanti jadi lain. Di mana air mengalir, di situlah saya ikut,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai Nor Shahida yang ditahan pihak berkuasa berhubung siasatan sindiket penyeludupan warga asing di Lapangan Terbang Antarabangsa KL, Adi Putra masih mengelak daripada menjawab.

Nor Shahida antara 28 pegawai dan anggota Jabatan Imigresen ditahan polis dalam operasi khas di Putrajaya pada 26 Julai lalu.

Bagaimanapun, Adi Putra mengesahkan isterinya itu tidak lagi berada dalam tahanan polis.

“Bukan kuasa saya untuk bercakap mengenai hal itu kerana ia adalah hak pihak atasan.

“Walaupun sebagai suami, nak beri komen masih perlu mengikut peraturan kerana ia membabitkan orang atasan dan mereka pula bukan bos saya,” katanya.

Lihat Komen
ADS