Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Aishah bawa Bahtera Merdeka, Susan dan Najwa titip doa
Diterbitkan:  Nov 19, 2016 9:04 PM
Dikemaskini: 1:23 PM

Seperti selalu himpunan BERSIH turut mendapat perhatian kalangan artis di negara ini sama ada secara langsung atau tidak.

Menurut pemerhatian sederhana Malaysiakini sekurang-kurangnya tiga artis menunjukkan - atau membayangkan - mereka mengikuti perkembangan terkini himpunan hari ini.

Paling ketara ialah penyanyi popular yang juga tokoh Parti Amanah Negara (AMANAH), Aishah.

Penyanyi Cinta Beralih Arah itu dilihat bukan saja hadir dalam perhimpunan BERSIH5 malah turut diberi peluang mendendangkan lagu.

Ketika suasana hangat dengan keghairahan peserta berbaju kuning Aishah menyampaikan lagu Bahtera Merdeka di Bangsar.

Ia sekali gus menaikkan semangat peserta BERSIH5 yang turun ke jalan raya untuk mendesak reformasi dalam sistem pilihan raya negara, selain memperkasa demokrasi berparlimen.

Aishah pernah aktif bersama PAS dan menjadi calon parti itu dalam pilihan raya umum lalu.

Bagaimanapun selepas kumpulan sederhana dalam parti itu diketepikan, Aishah menarik diri dan menyertai AMANAH.

Seorang lagi artis yang memberi reaksi kepada BERSIH5 ialah pelakon Susan Lankester.

Menggunakan dialog popularnya dalam filem Mekanik Susan menulis di Twitter: "Orang Putih ke, Orang Hitam ke, Orang Chocolate ke, Orang Kuning ke, KITA SEMUA ORANG MALAYSIA. A peaceful rally. Stay strong. #Bersih5".

 

 

Ketika perhimpunan sedang berlangsung Susan menulis: "Red shirts are carrying sticks now. Please be careful. #Bersih5" (Baju Merah membawa kayu sekarang. Tolong berhati-hati).

Selepas BERSIH5 berakhir dan peserta bersurai Susan yang baru-baru ini muncul dalam filem Redha menulis lagi: "So glad we are all peaceful Malaysians. Thank you for today. Love and Light to our Country (Sungguh gembira kita semua rakyat Malaysia yang aman. Terima kasih untuk hari ini. Cinta dan cahaya untuk negara kita)."

Turut menarik perhatian ialah penyanyi Najwa Mahiaddin. Meski pun sangat ringkas, berkias dan sederhana mesej itu dapat diagak dengan mudah disasarkan kepada BERSIH5.

 

 

"Stay safe," tulisnya di Twitter diiringi simbol hati berwarna kuning.

Seperti diketahui Najwa ialah anak kepada Tan Sri Muhyddin Yassin yang kini mengetuai parti baru untuk perjuangan politiknya.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu hadir ke tengah orang ramai hari ini bersama bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pada himpunan BERSIH tahun lalu seorang lagi selebriti memberikan sokongan terbuka kepada gerakan berkenaan.

Malaysiakini pada 1 September melaporkan Soo Wincci memberi sokongan kepada BERSIH4 yang diadakan selama dua hari.

Menggunakan media sosial Soo memuat naik klip video pendek meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan dan "memberi ruang kebebasan kepada rakyat Malaysia".

Dalam pesanan itu Soo berkata, Najib sudah berada "di atas pentas" terlalu lama dan ia kini "amat sesak".

Lihat Komen
ADS