'Usah terburu-buru akhiri rumah tangga'
Pelakon Serina Redzuawan menasihati pasangan suami isteri agar berusaha menyelamatkan perkahwinan dengan tidak mengambil keputusan terburu-buru menerusi jalan penceraian.
Menurut Serina, penceraian sebaik-baiknya dihindari dan bukan dijadikan jalan pintas bagi menyelesaikan suasana keruh dalam rumah tangga.
Bercakap berdasarkan pengalaman, Serina yang kini memegang status ibu tunggal berkata, dia juga tidak ingin bercerai dengan bekas suami, Gavin Edward O' Luanaigh sekiranya diberi pilihan.
“Sebolehnya, pasangan di luar sana harus berusaha menyelamatkan mahligai yang dibina, jangan mudah akhiri dengan perceraian.
“Mendirikan masjid adalah ibadah, namun saya dapati semakin banyak pasangan yang bergaduh saja sikit, terus bercerai.
"Sebelum mengambil keputusan untuk bercerai, saya dan Gavin sebenarnya telah sedaya-upaya bertahan dan menyelamatkan perkahwinan kami selama bertahun-tahun," katanya.
Pelakon itu ditemui media ketika majlis pratonton filem Malay Regiment di Mutiara Damansara, baru baru ini.
Serina dan Gavin atau nama Islam Salahuddin Ghaffar bercerai secara rasmi pada 1 Ogos lalu di Mahkamah Rendah Daerah Petaling.
Mereka berkahwin pada 1 Januari 2010 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Tristan Tareef dan Isabella Saffiya.
Mengulas lanjut, anak kepada tukang masak terkenal Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan itu berkata, penceraian bukan merupakan suatu trend atau tidak sepatutnya menjadi ikut-ikutan.
Malah, pelakon Zack Kapcai itu turut menafikan penceraian dalam kalangan selebriti memberi pengaruh buruk kepada masyarakat.
“Perceraian bukan trend tetapi hal itu boleh berlaku tidak kira kepada sesiapa, sama ada seorang datuk atau menteri sekalipun.
“Soal jodoh kerja Tuhan. Mana ada manusia tahu hari ini kahwin sebab hendak bercerai dua tiga tahun kemudian.
"Kena akur kalau Tuhan kata jodoh itu sudah sampai sini saja,” katanya.

