Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Biar apa jua kemelut melanda Search, ia tidak menghalang kumpulan rock legenda itu tampil menghadiahkan buah tangan terbaru buat peminat dengan album berjudul Katharsis.

Mengandungi 10 buah lagu, Katharsis merupakan album ke-12 Search dan diterbitkan selepas kali terakhir kumpulan itu menghasilkan Gothik Malam Edan pada 2006.

Bermaksud penyucian, pembersihan dan pengaslian jiwa, Katharsis menggambarkan keadaan yang dialami Search pada masa ini.

Amy selaku vokalis Search berkata, kumpulan itu kini mahu mengambil pendekatan membuang yang keruh dan mengambil yang jernih, selain menjadikan perkara yang sudah berlalu sebagai pengalaman buat mereka.

“Apa saja yang kita hadapi kenalah fikirkan untuk teruskan hidup bagi perkara lebih baik. Itu sebab kami berbincang mengenai album ini secara serius,” katanya.

Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, 59, ditemui pada sidang media pelancaran album Katharsis di Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama, anggota lain Search, Nasir (bass), Din (gitar), Kid (gitar), penerbit Datuk M Nasir dan presiden Pawana Music, Datuk Ahmad Zaharul Annuar  yang juga bertindak selaku penerbit album berkenaan.

Album berkenaan mendapat sentuhan komposer M Nasir, selain penulis lirik seperti S Amin Shahab, Usop dan Buddhi Hekayat dengan mengambil masa lebih 700 jam untuk disiapkan.

Kontroversi terus-menerus melanda Search sebelum ini selepas Yazid membangkitkan isu bayaran berhubung konsert 30 tahun yang sepatutnya berlangsung 30 Ogos tahun lalu.

Pada 18 Ogos lalu, mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan Search membayar hampir setengah juta kepada Syarikat AF Jets Sdn Bhd (AF Jets) yang sebelum ini sepatutnya menaja konsert Search.

Bukan sebab saman

Menurut pemain bass Nasir Daud, lahirnya album berkenaan bukanlah atas faktor Search cuba mengalih perhatian umum daripada isu disaman AF Jets atau perseteruan mereka dengan Yazid.

Sebaliknya, kata Nasir, Katharsis yang dilahirkan selepas 11 tahun merupakan satu tempoh yang lama, dan justeru ia sepatutnya diraikan.

Malah katanya, anggota kumpulan itu begitu komited untuk menyiapkan Katharsis kerana pembikinan album itu sudah tertangguh sejak dimulakan Ramadan lalu.

“Kita buat album bukan bermotifkan saman atau apa-apa. Album ini untuk peminat yang sudah menunggu-nunggu selama 11 tahun.

"Tidak kira masalah sedang dihadapi, ia akan cuba diselesaikan. Cuma kami tidak mahu mencampur-aduk semua perkara itu,” katanya.

Walaupun tidak menjanjikan apa-apa untuk lanjutan kariernya dalam Search, Amy berkata, Katharsis berkemungkinan besar akan menjadi album mereka yang terakhir untuk diterbitkan.

“Kami semua mengambil risiko untuk menerbitkan album ini dengan pasaran sekarang yang tidak menentu.

“Mungkin juga ini adalah album terakhir kami memandangkan usia saya hampir mencecah 60 tahun. Pernah juga saya tertanya-tanya sama ada betulkan ingin hasilkan album lagi?,” katanya.

 

Lihat Komen
ADS