Mark Wahlberg derma AS$41.5j bukan kerana Michelle
Michelle Williams tampil memberi maklum balas susulan tindakan pelakon gandingannya, Mark Wahlberg, mendermakan upah AS$41.5 juta diperoleh dalam filem All The Money In The World kepada dana undang-undang Time’s Up.
Michelle menegaskan keputusan Wahlberg mendermakan bayaran diperoleh selepas selesai menjalani penggambaran semula filem All The Money In The World kepada gerakan menentang serangan seksual Time’s Up bukan disebabkan dirinya.
Aktres berkenaan yang dilaporkan menerima bayaran kurang daripada AS$1,000 untuk penggambaran semula itu berkata demikian dalam sebuah kenyataan, lapor AP.
Menurut Michelle yang memegang watak sebagai Gail Harris dalam All The Money In The World itu, rakan pelakon dan kawan aktivis banyak memberikan sokongan kepadanya.

“Mereka mengajar untuk bersuara, dan orang paling hebat berkuasa akan mendengar dan bertindak,” katanya.
Penggambaran semula itu dijalankan lebih 10 hari apabila pengarah Ridley Scott menggantikan pelakon asal salah satu watak dalam filem itu, Kevin Spacey, dengan Christopher Plummer.
Bayaran secara adil
Ia berlaku apabila Spacey berdepan tuduhan salah laku seksual.
Plummer dan Michelle menerima pencalonan untuk anugerah Golden Globe ke-75 yang berlangsung 8 Jan lalu di California, AS.
Filem All The Money In The World diinspirasikan daripada kisah seorang lelaki yang dinamakan majalah Fortune sebagai lelaki Amerika Syarikat paling kaya masih hidup pada 1957 iaitu hartawan minyak John Paul Getty.

Terdahulu, Wahlberg dilaporkan bersetuju untuk menderma AS$1.5 juta wang diterima sebagai upah berlakon dalam penggambaran semula untuk All The Money In The World atas nama Michelle kerana dibayar sangat rendah.
Agensi William Morris Endeavoir yang mewakili kedua-dua pelakon juga berkata pihak mereka akan mendermakan wang tambahan sebanyak AS$500,000 atas nama Michelle.
Derma itu dibuat untuk #TimesUp iaitu dana untuk mangsa serangan dan gangguan seksual.
Menurut Wahlberg, dia menyokong 100 peratus hak bayaran secara adil di Hollywood.
Isu serangan seksual menjadi topik utama orang ramai selepas pendedahan demi pendedahan dibuat ke atas beberapa tokoh terkenal di Hollywood .
Selain Spacey, nama penerbit Harvey Weinstein lebih awal dikaitkan dengan jenayah terbabit.
Malah acara Golden Globe yang berlangsung beberapa hari lalu turut dibanjiri golongan artis yang berpakaian serba hitam sebagai tanda sokongan ke atas mangsa yang berani tampil membuat pendedahan.

