Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Laporan: Sofi Jikan bebas dengan jaminan polis
Diterbitkan:  Feb 9, 2018 12:49 PM
Dikemaskini: 4:53 AM

Pelakon Sofi Jikan hari ini dibebaskan dengan jaminan polis selepas direman tiga hari kerana positif ganja.

"Ini ujian Allah dan kita semua insan yang lemah... no komen," katanya seperti dipetik Harian Metro, hari ini.

Sofi, 48, tiba di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya dengan kereta peronda polis pada pukul 10.10 pagi dan kemudiannya dibawa ke pejabat Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Dia ditahan di Balai Polis Mutiara Damansara pada pukul 11 malam Rabu lalu ketika hadir untuk memberi keterangan berhubung laporan polis dibuat pelakon Datuk Farid Kamil pada 31 Januari lalu.

Dalam laporan itu, Farid, 36, mendakwa tiga artis telah meletakkan dadah ke dalam minumannya menyebabkannya bertindak di luar kawalan, termasuk menampar seorang anggota polis.

Selain Sofi, dua lagi yang dilaporkan telah dipanggil memberi keterangan adalah anggota kumpulan Innuendo, Taj atau Ahmad Tajuddin, dan seorang individu bernama Firdaus.

Sofi yang terkenal dengan watak Zul Kapan dalam filem Rock Bro enggan mengulas panjang ketika ditanya tentang hubungannya dengan Farid.

"Hanya Tuhan saja yang tahu," katanya seperti dipetik.

Sofi kini disiasat mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan penjara maksimum 2 tahun, denda maksimum RM5,000, atau kedua-duanya sekali serta pengawasan sehingga tiga tahun.

Lihat Komen
ADS