Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Neelofa kekal jadi ikon KPWKM
Diterbitkan:  Mar 5, 2018 10:23 PM
Dikemaskini: 2:28 PM

Nampaknya kontroversi yang melanda pelakon serta pengacara terkenal, Neelofa, baru-baru ini tidak memberi kesan kepada statusnya sebagai ikon Tahun Memperkasakan Wanita 2018 (TMW18).

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berkata sumbangan dan kejayaan diraih Neelofa sebelum ini memang dihargai.

Malah kementerian berkenaan percaya ia dapat memberi inspirasi kepada wanita negara ini untuk bergerak lebih jauh dan berdaya saing bagi mendepani cabaran Revolusi 4.0.

"Kementerian melihat dari sudut positif apa yang akan disumbangkan oleh Neelofa untuk memperkasa wanita," kata kenyataan itu.

Nama Neelofa menjadi 'panas' sejak 27 Feb lalu apabila melancarkan koleksi terbaru tudung keluaran syarikatnya di sebuah kelab malam di Kuala Lumpur.


Baca 'Ribuan dah bertudung kerana Lofa'


Selepas dikecam Neelofa berkata kelab malam itu dipilih selepas mengambil kira kesesuaian peruntukan kewangan serta tema acara yang dirancang.

“Jika diadakan di tempat lain, saya perlu mengeluarkan wang lapan kali ganda bagi memenuhi kehendak tema," katanya.

Langkah itu mendapat banyak reaksi negatif, termasuk daripada golongan agamawan. Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad turut memberi nasihat dengan menulis surat terbuka buat selebriti terbabit.

Tidak lama kemudian Neelofa tampil memohon maaf secara terbuka.

KPWKM berkata sebelum Neelofa dipilih sebagai ikon TMW18 kedua-dua pihak mengadakan perbincangan.

Hasilnya, kata KPWKM, kedua-dua pihak berjanji untuk memberikan usaha terbaik bagi memastikan setiap agenda dan program yang dirancang dapat dilaksanakan untuk memajukan wanita.

Kenyataan itu juga dibuat bagi menjawab dakwaan kononnya Neelofa digugurkan daripada statusnya sebagai Ikon Wanita Negara.

"KPWKM menafikan wujud Anugerah Ikon Wanita Negara seperti yang ditularkan blog media baru-baru ini," katanya.

Lihat Komen
ADS