Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
The Cranberries 'hidupkan semula' Dolores
Diterbitkan:  Mar 8, 2018 9:30 PM
Dikemaskini: 1:12 PM

Walaupun tanpa vokalis selepas Dolores O’Riordan meninggal dunia baru-baru ini, kumpulan The Cranberries tetap menyiapkan album terbaru mereka.

Anggota kumpulan itu memberitahu Dolores merekod vokalnya lebih awal untuk album baru berkenaan dan berharap ia dapat disiapkan sepenuhnya untuk diterbitkan awal tahun depan.

Kumpulan yang ditubuhkan pada 1989 itu juga bakal meneruskan projek menerbitkan semula album pertama mereka, Everyone Else Is Doing It, So Why Can't We? sempena sambutan ulang tahun ke-25 The Cranberries.

Asalnya projek berkenaan ditangguhkan berikutan kematian mengejut Dolores pada Januari lalu.

Tanpa Dolores, The Cranberries kini dianggotai Mike Hogan sebagai pemain basis, Noel Hogan (gitaris) dan Fergal Lawler (dram).

“Selepas mempertimbangkan pelbagai perkara, kami memutuskan untuk menyudahkan apa yang telah dimulakan.

“Kami memikirkan mengenai perkara itu dan mengambil keputusan ini adalah sesuatu yang kami mulakan secara berkumpulan bersama Dolores dan ia wajar disiapkan,” menurut satu kenyataan dikeluarkan melalui akaun Facebook rasmi The Cranberries.

Album Everyone Else Is Doing It, So Why Can't We? yang diterbitkan pada 1993 melakar kejayaan antarabangsa dicapai kumpulan itu melalui Linger - sebuah lagu berkisahkan ciuman pertama.

Edisi istimewa yang diterbitkan semula itu akan diperbaharui dan bakal menampilkan bahan yang belum diterbitkan pada era lalu.

Pada 15 Januari lalu peminat The Cranberries digemparkan apabila Dolores ditemui tidak bernyawa di sebuah hotel di London.

Dolores ketika itu berusia 46 tahun.


Baca Dolores dan kisah di sebalik 10 lagu The Cranberries


Penyanyi yang pernah turut mempopularkan lagu Zombie, Ode To My Family dan Just My Imagination ketika itu sedang bersama kumpulannya di London bagi menjalani sebuah sesi rakaman singkat.

Siasatan penuh bagi menyiasat kematian Dolores ditetapkan pada 3 April depan walaupun pihak berkuasa tidak menganggap ia ada unsur mencurigakan.

Kali terakhir The Cranberries menerbitkan album dengan material asli adalah Roses pada 2012, iaitu selepas 'sepi' lebih satu dekad.

Ia diikuti dengan Something Else (2017) yang mengandungi lagu-lagu versi unplugged dan orkestra dari single terdahulu selain tiga lagu baru.

Lihat Komen
ADS