Bruno Mars tetap teruskan konsert pada hari mengundi
Konsert Bruno Mars yang jatuh pada tarikh sama hari untuk membuang undi iaitu 9 Mei depan tetap akan diteruskan.
Kenyataan itu dikeluarkan penganjur PR Worldwide selepas dihujani pertanyaan peminat Bruno Mars yang menyatakan kebimbangan berhubung tarikh konsert yang bakal berlangsung di Bukit Jalil itu.
“Kepada semua pemegang tiket Bruno Mars Live in Kuala Lumpur, konsert itu ketika ini akan diteruskan seperti dirancang,” kata wakilnya menerusi Facebook PR Worldwide malam tadi.
Peminat meluahkan kegusaran mereka selepas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Mohd Hashim Abdullah semalam mengumumkan tarikh Pilihan Raya Umum ke-14 yang jatuh serentak pada hari konsert dijadualkan berlangsung.
PR Worldwide turut mengingatkan setiap pembeli tiket untuk mengikut sebarang perkembangan lanjut berhubung konsert itu di laman sesawang rasmi mereka.
“Untuk sebarang maklumat mengenai persembahan, sila ikuti www.prworldwidelive.com,” katanya.
Ini adalah kali ketiga Bruno Mars mengadakan konsert bersempena siri jelajah The 24k Magic World bagi mempromosi album menggunakan nama sama yang diterbitkan pada 2016.
Konsert The 24k Magic World bermula setahun kemudian iaitu pada 27 Oktober.
Malaysia antara tempat persinggahan penerima Anugerah Grammy itu sebelum meneruskan siri jelajahnya ke negara Asia lain seperti Jepun (11 hingga 15 April), Taiwan (17 April) dan China (23 April).
Kehadiran penyanyi yang popular dengan lagu seperti Just The Way You Are dan Billionaire itu memang dinanti-nantikan peminat tempatan apabila sebanyak 12,000 tiket laris dijual dalam tempoh 45 minit.

