Anak Vince menangis sebab tak boleh mengundi?
Di sebalik perkongsian klip video memaparkan dia sedang memujuk anaknya sedang menangis, ada mesej tersirat yang tidak kurang penting cuba disampaikan Vince Chong melalui akaun Instagram miliknya.
Melalui klip video singkat itu bekas juara Akademi Fantasia musim pertama berkenaan kelihatan memujuk anaknya, Tyler, yang menangis teresak-esak kononnya tidak boleh mengundi.
Mengiringi rakaman berkenaan ialah keterangan gambar menyatakan: “Apabila anak saya yang berumur enam bulan dapat tahu dia tak boleh mengundi untuk negaranya."
Penyanyi yang popular dengan lagu Mengapa Harus Cinta itu berkata, sempena pilihan raya umum (PRU) ke-14 pada 9 Mei ini, dia - seperti rakyat lain yang ada di negara ini - akan bersama-sama menunaikan tanggungjawab untuk mengundi.
“Saya mengundi demi masa depan anak-anak. Kita mungkin tidak dapat melihat masa depan tetapi ia bermula dengan percaya dan memikirkan generasi yang terkemudian.
“Biar apa saja keputusan itu, saya berharap dan berdoa untuk kesejahteraan Malaysia dalam apa jua cara sekali pun,” katanya.
Pada klip video berkenaan tangisan Tyler itu dilihat memang kuat. Cuma sesuai dengan tujuan ia dimuat naik, tangisan itu disebabkan oleh hal lain.
“Jangan risau, dia menangis sekejap dan sudah dapat susu,” kata Vince.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 9 Mei ini sebagai hari membuang undi untuk semua rakyat Malaysia yang sudah mendaftar sebelum 2018.
Bagi pengundi awal mereka akan membuat pilihan pada 5 Mei, iaitu tujuh hari selepas penamaan calon.
Pertembungan kali ini dianggap antara yang paling sengit apabila berlaku banyak perkembangan menarik perhatian, sehingga mendorong sejumlah selebriti menghangatkan lagi suasana.
Baca Usop Wilcha takkan pangkah 'dacing senget'
Ada tiga kumpulan utama yang bertanding iaitu BN yang akan cuba mempertahankan kemenangan mereka sejak 1959, Pakatan Harapan yang dianggotai PKR, AMANAH, DAP dan BERSATU serta PAS yang mengetuai Gagasan Sejahtera.
Pemilihan 9 Mei mendapat kecaman ramai kerana diadakan pada pertengahan minggu berbanding penamaan calon serta undi awal yang ditetapkan pada Sabtu.

