Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Kisah-kisah artis turun mengundi
Diterbitkan:  May 9, 2018 5:06 PM
Dikemaskini: 9:50 AM

Bagi menentukan masa depan negara dan pemimpin yang akan memerintah dalam masa lima tahun akan datang, golongan selebriti tidak ketinggalan untuk turut serta membuang undi pada hari ini.

1001 kisah dan gelagat dapat dilihat dikongsi di media sosial masing-masing. Di sebalik populariti, golongan artis dilihat berkongsi gambar-gambar yang serupa dengan peminat-peminat mereka.

Sama ada memaparkan gambar jari berwarna biru, sedang beratur dalam barisan panjang mahupun sedang memasukkan borang ke dalam peti undi, golongan artis dilihat teruja dengan pengalaman masing-masing.

Semuanya dilakukan bagi menunaikan tanggungjawab mereka kepada negara sempena pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Berikut kami rangkumkan beberapa kisah artis turun mengundi:

Sudah tentu, yang paling mencuri perhatian adalah penyanyi tersohor negara Datuk Siti Nurhaliza yang datang pusat mengundi meski baru saja selesai menjalani proses berpantang susulan kelahiran anak sulungnya.

“Semoga kuasa yang diberi kepada rakyat hari ini dapat menentukan masa depan yang lebih cemerlang,” katanya.

Ratu Jazz negara, Datuk Sheila Majid tidak ketinggalan berkongsi pengalaman mengundinya bersama dua anaknya iaitu Wan Nur Khaleda dan Megat Abdul Majid.

“Selesai untuk kamu Malaysia. Tanah airku yang tercinta,” katanya di Instagram.

Penyanyi Sinaran itu turut mengiringi status dan gambarnya dengan tanda pagar yang mempunyai seruan seperti “pulangkan semula negara saya” dan “kembalikan semangat rakyat Malaysia.”

Sementara itu, pelakon jelita Rozita Che Wan yang sering kelihatan anggun mengenakan pakaian mengerlip atau bulu mata bertingkat ketika menghadiri satu-satu majlis hari ini tidak kurang glamornya ketika turun mengundi di Sekolah Kebangsaan Datuk Keramat 2, Kuala Lumpur dengan memakai baju berwarna merah.

Gambar isteri kepada aktor Zain Saidin itu turut diiringi tanda pagar seperti “#malaysian” “#pru14.”

Anak kelahiran Singapura yang sah bergelar warganegara dan mendedahkan bukti kelayakan dengan mempamer kad pengenalan biru baru-baru ini, Datuk Adi Putra pula bersyukur dapat menunaikan tanggung jawabnya sebagai rakyat Malaysia.

“Alhamdulillah, selesai tunaikan tanggungjawab. Selamat mengundi. Kita sama-sama berdoa untuk keputusan malam ini,” katanya.

Demikian juga halnya dengan selebriti Wardina Safiyyah yang pulang ke tanah air bagi menjalankan kewajiban sebagai pengundi.

“Saya sayang kamu Malaysia...dengan sepenuh jiwa dan raga,” kata penuntut jurusan psikologi di sebuah universiti di Brisbane, Australia itu.

Pelakon dan pelawak Shamsul Ghau Ghau, atau nama sebenar Shamzul Azahar pula berkongsi pandangan tersendiri dalam menentukan pemimpin yang dirasakan terbaik bagi meneraju negara.

Katanya, dia membuat pilihan berdasarkan calon yang akan menggunakan kaedah memimpin yang menekankan sifat “takut dengan pencipta-Nya.”

“Dengan lafaz Bismillah...Pak Su mengundi calon atau parti yang takut dengan Allah,” katanya.

Selain itu, penyanyi Vince Chong juga tidak ketinggalan meraikan hari mengundi yang merupakan pengalaman pertamanya.

Vince mendedahkan dia benar-benar berasa takut sekiranya kertas undinya tidak dikira

“Kali pertama mengundi, amat takut sekiranya mengotorkan kertas undi. Kuasa kepada rakyat!” katanya.

Jauh di mata tetapi dekat di hati, itulah yang dirasai oleh juara Akademi Fantasia musim pertama itu apabila dia terpaksa berjauhan dari isterinya yang melakukan tanggung jawab sama tetapi di berlainan lokasi.

Vince mengundi di Seputeh, Kuala Lumpur manakala isterinya di Keningau Sabah.

“Dekat atau jauh walau di mana kamu berada, tanggung jawab kami sebagai rakyat Malaysia sudah dilaksanakan. Suami dan isteri mengundi demi masa depan.

“Tyler (anak berusia 7 bulan) menerima hakikat bahawa dia tidak boleh mengundi hingga 20 tahun.

“Adakah kita akan melihat Malaysia yang lebih baik ketika itu atau akan adakah rakyat ini yang masih tinggal? Kuasa dalam tangan kita,” katanya yang turut mengiringi statusnya dengan seruan “undi untuk perubahan.”

Manakala Abby Abadi yang baru tiba di Kuala Lumpur dari Gua Musang, Kelantan sebentar tadi, mendedahkan dia rasa gemuruh ketika sampai ke tempat mengundi.

“Alhamdulillah. Berjaya. Walaupun berdebar-debar macam nak naik pentas menyanyi tadi. Sampai polis hubungi semula sebab tertinggal kad pengenalan,” katanya.

Aktres Nelydia Senrose yang terpalit kes polis apabila kakaknya ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes dadah baru-baru ini juga tidak melepas peluang untuk mengundi.

“Menunaikan tanggung jawab sebagai rakyat Malaysia,” katanya.

Lihat Komen
ADS