Paling Popular
Terkini

Melalui sendiri pengalaman hitam hampir setahun lalu membuatkan pelakon Shukri Yahaya faham benar apa yang dirasai Syafiq Kyle yang kini berdepan dengan isu klip video lucah.

Sebagai rakan seperjuangan yang sama-sama melalui pelbagai fasa jatuh bangun dalam dunia lakonan, Shukri berkata, dia amat bersimpati dengan nasib menimpa Syafiq.

Pada masa sama Shukri berkata, sebagai orang yang pernah terpalit dengan isu hampir sama, perjalanan kerjaya seninya pernah mendung untuk seketika.

Justeru kata Shukri mengambil teladan daripada pengalaman silam dia mengambil langkah berjaga-jaga agar nasib malang itu tidak berulang.

“Hal yang berlaku sewaktu bulan puasa ini sama seperti apa yang menimpa saya.

"Jadi saya dapat rasa apa yang Syafiq rasa. Sekarang saya lebih berhati-hati sampai tahap 200 peratus," katanya.

Menurut Shukri pengalaman itu juga pernah membuat dia takut untuk keluar rumah selain mengelak daripada memenuhi undangan ke mana-mana majlis kerana bimbang kontroversi itu hanya akan semakin menyusahkan hidupnya.

“Saya khuatir sekiranya bertemu sesiapa dan tersalah cakap,” katanya.

Pemilik nama penuh Mohd Shukri Yahaya itu ditemui pada pada majlis tayangan eksklusif episod terakhir drama Pelangi Cinta di Kuala Lumpur semalam.

Pengalaman mematangkan diri

Shukri antara pelakon yang turut menjayakan drama disiarkan di TV3 itu di samping Mira Filzah, Aiman Hakim Redza, Syafiq dan Hairul Azreen.

Pemenang Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur itu sebelum ini terpalit kontroversi yang mengaitkan namanya dengan seorang wanita - juga berlaku sewaktu Ramadan.

Wanita terbabit mendakwa dia sering diganggu dengan mesej tidak senonoh dikirimkan bapa kepada anak satu itu melalui aplikasi WeChat.

Dakwa wanita itu lagi, Shukri pernah memintanya menghantar gambar 'aset peribadinya' selain pernah berhubung melalui panggilan video.

Bagaimanapun, Shukri menafikan semua dakwaan terbabit dan menuduh wanita berkenaan sengaja ingin mencari publisiti murahan.

Walaupun pengalaman itu didakwa mendewasakan, pelakon drama popular Andainya Takdir itu mengaku imejnya di hadapan seorang isteri sememangnya tercalar.

Katanya, isu berkenaan mengakibatkan dia sukar mendapatkan kembali kepercayaan daripada Tya Adnan yang dinikahinya pada 2015.

“Hal itu mematangkan, tetapi saya kena jaga perasaan isteri, anak dan keluarga mentua. Ya kalau boleh saya ingin melupakan kejadian itu.

“Kalau boleh juga saya ingin membuat umum boleh melupakan perkara itu melalui penghasilan mutu kerja-kerja (lakonan) yang bagus,” katanya.

Sekitar Mei lalu, beberapa video ringkas memaparkan wajah lelaki menyerupai Syafiq berborak lucah melampau mulai muncul di media sosial.

Video ‘panas’ itu mula dimuat naik secara meluas di media sosial oleh seorang wanita yang menggelarkan dirinya sebagai Mira.

Lihat Komen
ADS