Paling Popular
Terkini

Nasib malang melanda Qhaliq sekali lagi apabila hayat filem berkisah tentang kehidupan anggota bomba dan penyelamat itu di pawagam tidak bertahan lebih dari tujuh hari.

Penerbit Qhaliq, Datuk Fyzal Fauzi, berkata penarikan tayangan yang terlalu cepat itu turut menyebabkan syarikatnya, Ohhsem Networks Sdn Bhd, tidak sempat meraih pulangan modal yang setimpal selepas segala usaha dicurahkan untuk menghasilkan filem berkenaan.

“Saya dapat tahu perkara ini selepas pergi ke pawagam membawa beberapa anggota kadet bomba untuk menonton hari ini.

“Minggu depan sepatutnya kami memulakan jerayawara bersama barisan pelakon Qhaliq (untuk tujuan promosi), tetapi dengan penarikan seperti ini, ia membantutkan aktiviti yang kami dirancang,” katanya.

Dalam pada itu, Fyzal turut memaklumkan bahawa dia mendapat beberapa aduan daripada penonton yang kesal apabila tidak dapat menonton Qhaliq kerana tayangan sudah dibatalkan.

Hal itu berlaku, katanya, walaupun jadual sudah dipaparkan lebih awal.

Malah katanya hasrat beberapa pelakon untuk mengadakan acara menonton filem bersama peminat juga tidak kesampaian.

Nasib penerbit baru

Sepatutnya, Qhaliq - yang menemui penonton bermula 14 Jun lalu - ditayangkan di pawagam tempatan untuk tempoh sekurang-kurang dua minggu mengikut syarat ditetapkan Skim Wajib Tayang.

Filem diarahkan Rosli Mohd Taib itu menampilkan barisan pelakon seperti Hairul Azreen, Risteena Munim, Aliff Yasraf, Ahmad Idham dan Nur Albaniah.

Dengan penarikan tayangan berkenaan, slot filem itu digantikan dengan filem tempatan lain, This is Pilah: The Movie yang mula ditayangkan hari ini.

Terdahulu, Qhaliq mengundur diri daripada tayangan yang sepatutnya dijadual pada 5 April lalu bagi memberi laluan kepada filem yang terperap selama 12 tahun, Dukun.

Melalui Skim Wajib Tayang, Qhaliq mendapat tarikh tontonan sama dengan Dukun dan keputusan mengalah diambil bagi mengelak saingan lebih besar.

Fyzal berkata, situasi dihadapi kini saling tak tumpah seperti yang pernah menimpa Ahmad Idham - pemilik AIFA Motions Sdn Bhd - syarikat pengedar filem berkenaan.

Katanya, isu Skim Wajib Tayang pernah dibangkitkan Ahmad Idham ekoran masalah dihadapi filemnya Hantu Wangan dan kini rungutan berkenaan dilihat memang berasas.

Menurut Fyzal lagi, kebanyakan penerbit baru sepertinya sudah menerima nasib sama sebelum ini dan kini situasi malang itu berulang kembali.

Sementara itu, Penerbit Eksekutif Ohhsem Networks Sdn Bhd, Hafiz Fauzi turut meluahkan kekecewaan berhubung isu sama.

“Saya tidak pasti hendak salahkan siapa. Siapakah yang bertanggungjawab untuk memantau syarat wajib tayang di pawagam?

“Adakah kuasa pemilik pawagam di Malaysia lagi besar daripada penggubal peraturan perihal pawagam dan tayangan?” katanya.

Lihat Komen
ADS