Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Tanah Akhirku naskhah teater berjiwa besar
Diterbitkan:  Aug 14, 2018 10:19 AM
Dikemaskini: 2:49 AM

Selepas berbulan-bulan pihak produksi mencari figura terbaik yang mampu menjadi Tengku Khalis untuk teater Tanah Akhirku, akhirnya 'jodoh' untuk watak itu jatuh ke bahu Aeril Zafril.

Aeril sedar tanggungjawab yang diberikan itu bukan kecil. Namun dia bersyukur juga kerana Istana Budaya bukanlah terlalu asing buatnya.

Sebelum ini dia pernah beraksi di pentas yang sama namun menjayakan naskhah berbeza.

“Walaupun sudah kali kedua ke pentas Istana Budaya yang berprestij ini, saya tetap rasa teruja bercampur gementar,” katanya dalam satu kenyataan.

Meskipun berdepan dengan waktu yang terbatas, Aeril, 29, berharap agar perjalanan dan pementasan teater itu akan sentiasa dipermudahkan.

“Kali ini bersama tenaga kerja anak-anak muda yang berjiwa besar untuk menjayakan sebuah karya yang kaya semangat bersama masyarakat.

“Karya ini mengingatkan wujudnya pemakai-pemakai topeng yang mampu membinasakan segenap jiwa dengan kata-kata dan tingkah yang berpaling daripada adab dan agama,” katanya.

Untuk menjayakan watak sebagai Tengku Khalis, Aeril akan dibimbing dua nama yang cukup dikenali ramai dalam dunia lakonan pementasan luar komersial, iaitu Naque Ariffin dan Aloeng Silalahi.

Dua nama itu bergabung untuk melahirkan sentuhan tersendiri bagi mempersembahkan naskhah Tanah Akhirku kepada khalayak.

Naque selaku pengarah berkata, dia dipanggil pulang dari Indonesia untuk memenuhi harapan aktivis-aktivis muda yang ingin memecahkan dominasi serta kepercayaan orang atas adalah satu kehormatan buat dirinya.

“Tidak mungkin saya boleh menutup mata apabila ada di antara teman-teman memerlukan bantuan ketika produksi ini hampir melabuhkan sauh sebelum sempat tiba di destinasi.

“Harapan saya sungguh besar dalam bidang kesenian ini. Satu yang tertinggi adalah melihat kerja kreatif tidak dimamah oleh birokrasi dan sistem.

“Saya tidak ingin karya ini diukur, cukup untuk diapresiasi. Yang saya tawarkan dalam karya ini adalah penonton bukan sahaja dapat menonton tetapi membaca persembahan ini,” katanya.

Seni bernilai komersial

Aloeng pula berpendapat Tanah Akhirku adalah sebuah produksi berani, atau jika tidak keterlaluan mungkin boleh dikatakan “gila” dan “membunuh diri.”

“Mengumpulkan aktivis, selebriti dan alumni Aswara dalam sebuah produksi berskala Istana Budaya bukanlah kerja.

“Tetapi saya percaya kami tetap melalui jalan berliku ini bersama ialah kerana cinta pada seni persembahan teater, dan kemudian adalah kesetiaan dan kehormat tinggi pada almameter kami (Aswara).

“Harapan saya, Tanah Akhirku mampu diapresiasi oleh penonton bukan hanya sekadar sebuah pementasan sempena bulan kemerdekaan tetapi atas semangat kisahnya akan cinta budi yang melampaui sempadan kaum, bangsa dan politik.

“Juga harapan yang setinggi-tingginya pada keseluruhan produksi dapat menuntaskan visi kami menyajikan karya seni dengan nilai komersial,” katanya.

Bersempena bulan kemerdekaan yang disambut pada Ogos ini, penerbit iaitu Gold Ray dan Aswara dengan kerjasama Istana Budaya bersatu mengangkat teater Tanah Akhirku ke skala yang lebih besar di Panggung Sari, Istana Budaya.

Teater karya Amar Amir ini akan menemui penonton pada 28 Ogos hingga 2 September 2018 di bermula jam 8.30 malam. Antara pelakon yang terlibat adalah Mei Fen Lim (gambar), Erma Fatima, Izzue Islam, Nina Nadira, Nave VJ, Akmal Ahmad, Alfred Loh, Iskandar Zulkarnain dan Angeline Tan.

Tanah Akhirku berkisahkan perjalanan hidup seorang gadis, Yue Feng, yang berasal dari China di Tanah Melayu. Yue Feng bersama adiknya lari daripada perang saudara di China untuk mencari kehidupan baru.

Tanah Akhirku akan dipersembahkan dalam bahasa Melayu, Cina dan Inggeris dengan sarikata bahasa Melayu. Tiket dengan harga RM40, RM60, RM110, RM150, RM200, RM250 DAN RM 350 boleh dibeli melalui http://airasiaredtix.com mulai 13 Julai 2018.

Lihat Komen
ADS