Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Munafik 2 beri bayangan cabar Hantu Kak Limah?
Diterbitkan:  Aug 30, 2018 8:46 PM
Dikemaskini: 2:34 PM

Mungkinkah kemunculan Munafik 2 mampu menggugat kedudukan selesa Hantu Kak Limah yang mencatat kutipan pecah panggung tertinggi ketika ini?

Tayangan awal Munafik 2 semalam menunjukkan filem itu mengumpul nilai jualan tiket setinggi RM2.05 juta.

Berita itu dimaklumkan pengarah dan pelakon Munafik 2, Syamsul Yusof melalui perkongsiannya di media sosial hari ini.

Munafik 2, fisabilillah, baru sahaja ditayangkan semalam, namun berjaya dominasi carta. Alhamdulillah,” kata Syamsul.

Buat masa ini filem komedi seram Hantu Kak Limah melakar sejarah tersendiri kerana mencatat kutipan RM1.8 juta sehari selepas ditayangkan.

Untuk tayangan awal filem arahan Mamat Khalid itu mengumpul nilai jualan tiket sebanyak RM650,000.

Untuk rekod jumlah kutipan untuk tayangan awal Hantu Kak Limah di Malaysia dan Brunei bernilai RM1.8 juta, manakala Munafik 2 mengambil kira nilai pungutan untuk Malaysia, Brunei dan Singapura.

Setakat dua hari lalu laporan diperoleh Malaysiakini menunjukkan Hantu Kak Limah - yang ditayangkan sejak 9 Ogos lalu - mengutip lebih RM32.5 juta.

Sementara itu, penerbit Munafik 2 dan pemilik Skop Production Sdn Bhd, Datuk Yusof Haslam turut mengesahkan kutipan berkenaan.

Filem ke-10 arahan Syamsul itu turut dibintangi barisan pelakon popular seperti Maya Karin, Nasir Bilal Khan, Mawi, Datuk Fizz Fairuz, Datuk Rahim Razali dan Fauzi Nawawi.

Filem Munafik yang pertama ditayangkan pada 2016 dan berjaya meraih kutipan keseluruhan sebanyak RM17 juta.

Lihat Komen
ADS