Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Bekas CEO ITBM sebak tinggalkan 'gelanggang'
Diterbitkan:  Oct 18, 2018 9:03 AM
Dikemaskini: 1:37 AM

Bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Mohd Khair Ngadiron meluahkan rasa sebak kerana terpaksa meninggalkan agensi Kementerian Kewangan itu selepas kontraknya berakhir.

"Walaupun sebak meninggalkan gelanggang, namun saya bahagia, walaupun perjuangan belum selesai.

"Tapi memang begitulah adatnya berjuang, tidak akan pernah ada jalan hujung, sekali gus menjadikan ia infiniti, ibarat tidak akan pernah habis walau berterusan dikejar," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut Mohd Khair beliau berkhidmat di ITBM selama 10 tahun 11 bulan sejak 15 November 2007 dengan lima kali kontraknya dilanjut sebelum berakhir Ahad lalu.

"Sepuluh tahun 11 bulan menerajui ITBM bukan tempoh singkat, dan kepercayaan diberi Kementerian Kewangan untuk saya kekal di situ selama ini saya hargai sepenuhnya.

"Malah sewajarnya bagi saya menzahirkan rasa terima kasih di atas peluang yang pada masa sama membuka ruang kepada saya berhubungan dengan seluruh warga industri, baik secara langsung mahupun tidak langsung," katanya.

Mohd Khair dalam pada itu menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik di atas sokongan untuk melanjutkan kontrak beliau di ITBM sekali lagi.

Bagaimanapun katanya keputusan akhir ditentukan Kementerian Kewangan dan beliau menghormati kata putus tersebut.

"Seperti disebut awal tadi, ini bukan pengakhiran, walaupun jalan dituju masih belum tentu ke mana halanya.

"Dan kepada semua yang memberi ucapan, sokongan dan semangat, hanya Tuhan tahu bagaimana sebaknya saya di kala membaca," kata Mohd Khair.

Semalam ITBM menjelaskan Mohd Khair yang juga pengarah urusan agensi itu bukan dipecat sebaliknya jawatan beliau merupakan “lantikan secara kontrak berdasarkan pada tempoh yang khusus”.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan gesaan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) supaya Kementerian Kewangan mempertimbangkan semula keputusan tidak menyambung kontrak Mohd Khair.

Presiden PENA Dr Mohamad Saleeh Rahamad berkata khidmat Mohd Khair masih diperlukan kerana pemikirannya yang jauh ke depan hingga berjaya melonjakkan nama agensi itu.

Menurutnya Mohd Khair juga merupakan individu bertanggungjawab memperkenalkan sastera Malaysia ke peringkat antarabangsa.

Lihat Komen
ADS