Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Suami bimbang tapi tetap faham 'jiwa liar' Ellie Suriati

Setiap kali susuk Ellie Suriati Omar muncul bersama penyokong Umno mengecam kerajaan, setiap kali itu jugalah hati suaminya yang juga seorang pelakon, Azri Iskandar, kerisauan.

Tetapi kata Ellie, suaminya itu juga faham tentang sifat dirinya sebagai seorang wanita yang 'berjiwa liar' dan tidak mungkin ditawan semangat juangnya.

"Dia tahu jiwa saya liar dan memang risau kalau saya kena tangkap," katanya.

Bagaimanapun menurut Ellie segala tindak-tanduknya sejak beberapa bulan lalu dibuat bukan semberono, sebaliknya bersandar kepada fakta dan maruah Umno.

Ellie berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pengumuman Anugerah Skrin ke-22 di Bukit Kiara, Kuala Lumpur semalam.

Ellie, 48, seorang pelakon berbakat yang mula dikenali melalui filem Spinning Gasing pada 2000 sebelum membintangi pelbagai produksi lain selepas itu.

Daripada hanya penggiat seni kelibat Ellie akhir-akhir ini dilihat bersifat politik - bermula sebagai penyokong anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Lokman Noor Adam dan baru-baru ini turut menyampaikan ucapan 'berapi-api'.

Malah ucapan Ellie pada malam 18 Okt lalu turut menjadi tular.

Rasa terhina kalau berpura-pura

Dia bersama Lokman dan penyokong BN hadir di luar Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya untuk menyatakan sokongan kepada Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang ditahan di situ.

Ahmad Zahid, 65, yang juga bekas timbalan perdana menteri berada di situ kerana disiasat dan bakal didakwa berhubung dakwaan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram. 

Ellie tampil penuh semangat berpidato di depan kira-kira 200 penyokong Umno dan Ahmad Zahid.

 

Ahmad Zahid melambai kepada penyokongnya di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 19 Okt lalu

 

Ditanya punca yang membuatkannya begitu bersemangat Ellie menjawab, dia berang apabila Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Umno perlu dibubarkan.

“Saya marah kerana Umno hendak dibubarkan, sedangkan ia adalah parti terkuat untuk orang Melayu yang menjaga agama, raja-raja Melayu dan mengangkat perpaduan kaum.

“Pada saya, tiada sebab (untuk bubarkan Umno) melainkan Dr Mahathir hendak kerusi dalam Umno, atau berpunca daripada desakan DAP,” katanya.

Sementara itu Ellie menjelaskan dia tidak menyangka klip video ucapannya itu mengundang respon negatif daripada netizen yang menuduhnya bermain sandiwara.

 

 


 

 

Baca Curhat Ellie: Mengapa saya tak boleh bersuara?

 

 


 

 

“Saya memang marah betul-betul, tapi kalau orang tak faham jiwa perjuangan, ia akan mudah jadi ejek-ejekan.

"Saya malu apabila ada orang Melayu ejek bangsa sendiri sedangkan mereka tidak berbuat apa-apa," katanya.

Menurut Ellie apa yang dilakukannya itu perlu untuk menyedarkan orang Melayu supaya bangkit membantah Pakatan Harapan.

Katanya dia berasa terhina apabila aksinya itu dituduh sekadar lakonan.

“Kalaulah betul ada orang suruh berlakon memang saya rasa terhina, sebab berlakon itu profesional, untuk dunia kreatif, sedangkan ketika itu saya jadi diri sendiri,” katanya.

Sementara telefilem arahan Ellie, Tulus Cinta mendapat pencalonan bagi kategori Drama Terbaik Anugerah Skrin yang bakal berlangsung pada 2 November ini di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.

Lihat Komen
ADS