Menjelang genap 20 tahun penubuhan Kristal, kumpulan itu menegaskan tiada pengiktirafan yang perlu dikejar-kejar sebaliknya harus kekal fokus untuk memuaskan peminat.
Kata mereka, itu adalah ramuan terbaik untuk menjamin nama Kristal kekal di hati peminat.
Gitaris Kristal, Rody, berkata memang selama ini mereka berusaha gigih mencurah sepenuh usaha untuk memberi kepuasan kepada peminat.
“Setiap pengorbanan, keletihan dan kepahitan kami rasai untuk membuat peminat benar-benar rasa dihargai dan mereka jadi penyokong setia Kristal,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Kali ini buat pertama kali, Kecik - bekas anggota Hyper Act - beraksi secara rasmi sebagai vokalis bersama Kristas yang diasaskan sekitar 1999 itu.
Kecik menggantikan tempat vokalis terdahulu, Lan, yang kini membawa haluan sendiri dan menggunakan nama Lan Solo.
Rody atau nama sebenarnya Mohd Rodi Baharudin, berkata demikian ketika diminta mengulas penyertaan artis berkumpulan dalam pertandingan Anugerah Juara Lagu ke-33 (AJL33).
Peluang sebelum pupus
Baru-baru ini, penyanyi Aweera meluahkan kekecewaan apabila tiada artis berkumpulan terpilih ke AJL33.
Bagaimanapun, Pengurus Hiburan Primeworks Studios Muhamad Sufian Che Isa berkata AJL33 tidak meletak kuota finalis sama ada solo, berduet atau berkumpulan sebaliknya kriteria utama ialah lagu terbaik.
Kenyataan Rody itu disokong seorang lagi anggota Kristal, Muhammad Afifi Nor Mohammad atau Kechik Afifi (basis).

Namun, katanya, Kristal tidaklah sampai menolak rezeki sekiranya ada pengiktirafan datang mengetuk pintu mereka.
Bagi Kechik Afifi, dia melihat beraksi di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) adalah bonus buat sesebuah kumpulan untuk mengukuhkan nama dalam dunia hiburan tempatan.
“Kalau dapat masuk AJL itu memang suatu bonus, tetapi sememangnya kami tidak mengharapkan apa-apa,” katanya.
Seorang lagi anggota yang turut membarisi kumpulan yang popular dengan lagu lagu seperti Seragam Hitam, Delaila dan Resam Pak Belalang itu adalah Mohd Asraf Baharuddin (Asraf).
Kristal pernah bertanding di Separuh Akhir Muzik Muzik ke-29 melalui lagu duet Pasti Sempurna dengan Ronnie Hyper Act.
Mengulas lanjut, Rody berkata, adalah penting untuk penerbit dan penganjur mengambil kira penyertaan daripada artis berkumpulan.
“Sebenarnya saya juga kecewa apabila tiada artis berkumpulan terpilih menyertai AJL33 kerana ada antara mereka yang menghasilkan lagu-lagu popular.
"Patutnya kenalah bagi peluang sebelum band-band pupus,” katanya.
