Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
K'jaan sedia timbang bantu muzium Yasmin Ahmad

Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Mohammadin Ketapi menyarankan pihak yang berhasrat memohon bantuan kewangan berkaitan memajukan sektor tersebut untuk menghantar kertas cadangan bagi tindakan selanjutnya.

Menurut beliau, pihaknya amat terbuka untuk sebarang perbincangan bagi membantu perkembangan aktiviti penggiat-penggiat seni tanah air.

“Kami terbuka kepada sebarang perbincangan tetapi mereka yang berkenaan perlu menghantar kertas cadangan terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Program Istana Budaya 2019 di Istana Budaya hari ini.

Beliau mengulas soalan wartawan yang bertanyakan mengenai muzium pengarah filem Yasmin Ahmad di Ipoh.

Semalam Malaysiakini menyiarkan laporan adik allahyarhamah, Orked memaklumkan bahwa muzium yang mengumpul koleksi peringatan pengarah tersebut dengan nama Yasmin Ahmad at Kong Heng di Ipoh, Perak berdepan kekangan kewangan.

Iklan paling digemari menteri

Kata Orked, pihaknya membuka muzium berkenaan hanya pada hari minggu ekoran masalah yang dihadapi.

Tiada dana. Menggaji kurator dan seseorang untuk mengurus bangunan itu memerlukan wang,” katanya.

Kenyataan itu dibuat selepas Mohammadin menulis beberapa siri ciapan sempena memperingati 10 tahun pemergian Yasmin melalui Twitter miliknya semalam.

Mohammadin antara peminat yang mengikuti perkembangan Yasmin semasa hayatnya tanpa jemu. Antara iklan paling digemari beliau adalah terbitan Petronas yang disiarkan pada 2000, iaitu The Boat Race. 

Pada 2009, Yasmin dikejarkan ke unit rawatan rapi (ICU) hospital pakar Damansara ekoran diserang angin ahmar kira-kira jam 4.30 petang. Dia kemudian disahkan meninggal dunia jam 11.25 malam.

Pengarah itu terkenal kerana karya-karyanya banyak menyentuh nilai-nilai perpaduan selain memupuk keharmonian antara segenap lapisan masyarakat.

Antara karya-karya Yasmin yang popular adalah Sepet, Gubra, Mukhsin, Muallaf dan Talentime.

Justeru, Orked berharap kerajaan dapat mempertimbangkan permintaan mereka dan membantu meringankan beban ditanggung bagi menampung perbelanjaan untuk menguruskan Yasmin At Kong Heng.

Katanya, dengan sumber kewangan yang stabil, muzium berkenaan juga boleh dijadikan sebagai salah satu sumber tarikan pelancong di Ipoh selain mempromosi karya-karya Yasmin selain memupuk nilai-nilai seperti perpaduan dan keharmonian dalam negara.

Lihat Komen
ADS