Ratu Rock Ella mencatat rekod baru dalam Malaysia Book of Records apabila menyampaikan persembahan diiringi 200 pemuzik pada acara Ella Kitalah Bintang di The Love @Matic di Kuala Lumpur hari ini.
Ella berkata, persembahan itu dibuat bagi meraikan pemuzik muda bersempena Konsert Ella Unplugged In KL, bulan depan.
“Saya tidak terlalu memikirkan untuk memecahkan rekod hingga diiktiraf Malaysia Book Of Records.
“Apa yang dibuat, saya hanya mahu mengumpulkan pemuzik muda iaitu pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).
“Saya mahu memberi pengalaman bermain muzik secara langsung kepada mereka. Kalau bukan saya yang bagi pendedahan, siapa lagi?
“Ini dapat mengetengahkan mereka sebagai bakat pelapis,” katanya seperti dipetik BH Online.

Rekod itu juga sekaligus memadam pencapaian Ella atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin yang sebelum ini mengundang kira-kira 100 pemuzik pada sidang media Konsert Ella 2016.
Mengulas mengenai konsert di Panggung Sari, Istana Budaya yang dianjurkan tiga hari mulai 29 Mac depan, sebanyak 70 peratus tiket sudah dijual.
“Alhamdulillah, sudah tentu saya gembira apabila jualan tiket baik. Bukan senang orang nak keluarkan duit beli tiket.
“Jadi, mahu memberi persembahan terbaik peminat,” katanya.
Tiket menyaksikan Ella beraksi pada Konsert Ella Unplugged In KL pada harga antara RM179 hingga RM519 boleh dibeli melalui www.proticket.com.my.
Bakal mempersembahkan 25 lagu dalam tiga segmen termasuk Melayu Asli dalam konsert itu, penyanyi berasal dari Klang, Selangor itu juga akan mendendangkan lagu daripada album baru, Peace Love Rindu.
