Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Kalau pentingkan rupa, tukar uji bakat jadi 'uji helok'
Diterbitkan:  Mar 12, 2019 2:35 PM
Dikemaskini: 6:35 AM

Seorang lagi aktor tampil menyindir mentaliti seorang juri sebuah pertandingan festival drama ekoran sikapnya yang mendahulukan paras rupa berbanding bakat untuk diketengahkan sebagai hero atau heroin drama.

Pelakon Bisik Pada Langit, Beto Kusyairy, secara sinis berkata dengan keutamaan pada fizikal dan rupa, sesuatu sesi pemilihan tidak wajar lagi diberi nama uji bakat.

“Sepatutnya terma uji bakat itu diubah kepada uji helok.. baru betul,” ciapnya di Twitter. 

Pemenang Pelakon Lelaki Terbaik Anugerah Skrin 2015 itu juga senada dengan salah seorang pengikutnya yang kemudian menciap: “Uji wajah atau uji rupa.”

 

Menjawab kepada ciapan itu, Beto berkata: “Baru takde orang bising dan marah ya dak?”

Semalam Malaysiakini menyiarkan pandangan pelakon Que Haidar yang membidas juri - yang juga seorang penerbit - selepas dia menyarankan setiap peserta perlu menyedari kelebihan dan kekurangan masing-masing sebelum menghadiri sesi uji bakat berkenaan.

Kata Que Haidar, paras rupa seseorang akan berubah seiring mamahan usia, sebaliknya jika pelakon itu tampil dengan bakat yang baik, legasi itu mampu bertahan lebih lama di hati peminat. 

Realiti, tuntutan masa kini

Terdahulu, A Aida melalui sebuah wawancara bersama Harian Metro berkata, kenyataannya itu dibuat bertujuan memudahkan tugas-tugas perjurian.

Malah kata pemilik A Aida Production itu, ia dapat menjimat masa mereka untuk menilai jika seseorang peserta yang hadir untuk uji bakat itu semuanya memiliki pakej lengkap seperti kacak dan cantik.

Aida mengeluarkan kenyataan itu sewaktu sesi uji bakat lakonan sempena Drama Festival Kuala Lumpur minggu lalu.

Fauziah, atau Ogy

Pelakon Fauziah Ahmad Daud pula menempelak Aida dengan berkata, dia tidak perlu mengeluarkan kenyataaan sedemikian jika tidak memahami “rukun lakonan.”

Sementara itu, dipetik mStar Online, Aida memberi maklum balas terhadap kritikan diberikan rakan-rakan seperjuangan dalam dunia seni.

Namun, pendirian Aida terhadap kenyataan dibuatnya sebelum ini didapati sedikit pun tidak berganjak.

A Aida

Bagi Aida - atau nama sebenarnya Zaidah Awang - sudah menjadi kebiasaan dalam perniagaan diceburinya untuk mementingkan rupa paras kerana ia suatu realiti selain tuntutan masa kini.

“Itu adalah realiti kehidupan dan tuntutan masa kini. Kenapa nak pertikaikan?

"Selebriti yang menyelar kenyataan saya itu mungkin tak faham.

“Mereka kena terima hakikat dan jangan jadi hipokrit, sebab sememangnya setiap drama menggunakan pelakon utama yang mempunyai wajah cantik dan tampan.

“Kalau tidak, siapa yang nak tengok drama tu? Bagi saya bakat itu boleh digilap. Tapi rupa tu sangat penting untuk melariskan sesebuah drama,” katanya.

Aida juga berkata, dia tidak berniat menghina ciptaan Tuhan dan turut mencadangkan beberapa program lain yang mengetengahkan bakat berbanding paras rupa seperti Bintang Mencari Bintang.

Dalam pada itu, Aida memaklumkan, dia sudah menyekat lebih daripada 500 pengikutnya di laman sosial yang memberikan komen-komen berbaur negatif sejak isu itu timbul.

Lihat Komen
ADS