Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan

Komuniti Filem Titiwangsa (Komfit) menggesa Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) menjustifikasikan pemilihan Ahmad Idham Ahmad Nadzri sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Pengasas Komfit Al Jafree Md Yusop berkata, KKMM perlu menilai sejauh mana kredibiliti dimiliki seseorang calon penyandang jawatan itu sebelum individu tersebut dilantik untuk meneraju Finas.

“Kami tidak bersetuju dengan pelantikan Ahmad Idham sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Finas. Kami nak sangat, sangat tahu apa sebabnya.

“Bila kita memilih tu kena ada kriteria yang menjustifikasikan kenapa dia dipilih.

“Komfit bersuara supaya Menteri Gobind Singh Deo dapat perjelaskan atas dasar apa Ahmad Idham dipilih?” katanya kepada Malaysiakini sebentar tadi.

KKMM dalam kenyataan dikeluarkan hari ini mengumumkan Ahmad Idham dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Finas untuk tempoh dua tahun, berkuatkuasa sejak 11 Mac lalu. 

Dalam pada itu, Al Jafree yang juga pengarah dan penulis lakon layar itu berkata, antara aspek kredibiliti perlu diambil kira adalah merit Ahmad Idham sebagai seorang karyawan.

“Maksudnya dari segi karya apa dia dah hasilkan. Namun, kita sedia maklum karya dia sebelum ini macam mana. Nak kata anugerah antarabangsa pun tak ada.

“Mungkin satu ketika dulu filem dia box office, tapi sekarang hasilnya tak seberapa. Sebagai ahli perniagaan juga kita tak tahu macam mana keadaan dia sekarang,” kata pengarah filem Mencari Rahmat itu.

Secara sinis Al Jafree berkata, sepatutnya KKMM tidak perlu mengambil masa begitu lama jika sekadar mahu menamakan pelakon dan pengarah filem Mr Cinderella itu untuk mengetuai Finas

“Kenapa perlu ambil tempoh sampai 10 bulan kalau nak umum Ahmad Idham sebagai ketua pegawai eksekutif.

“Kalau setakat Ahmad Idham, sehari selepas pilihan raya umum 10 Mei lalu pun dah boleh umum nama penyandang jawatan tu,” katanya.

Komfit adalah sebuah komuniti yang menghimpunkan penggiat serta pencinta filem seperti pengarah, penerbit, penulis, penggiat dan artis dalam menyuburkan wacana berkenaan filem.

Lihat Komen
ADS