Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Pelakon 'tiada rupa' kena gigih dan positif, kata Azhan Rani

Aktor Azhan Rani menyeru pelakon yang berasakan diri mereka kekurangan 'pakej’ untuk menarik perhatian penerbit atau pengarah agar tidak cepat berputus asa, sebaliknya berusaha menonjolkan bakat dan kebolehan yang ada.

Kata pemenang anugerah Antagonis Pilihan Drama Festival Kuala Lumpur 2019 (DFKL2019) itu, seseorang pelakon yang memiliki bakat - namun rupa tidak menyebelahi mereka - perlu terus bersikap positif jika ingin kekal berada dalam dunia seni tanah air.

“Saya titipkan pesan supaya golongan seperti itu, teruskanlah berjuang, jangan sesekali gentar mengharungi dugaan.

"Kita kena positif selalu,” katanya yang ditemui pada acara DFKL2019 pada 7 April lalu.

Azhan adalah antara pelakon yang dianggap kurang memiliki pakej yang digemari sesetengah penerbit filem dan drama yang mengutamakan wajah kacak atau cantik.

Isu itu pernah menjadi perbualan kalangan dunia seni baru-baru ini.

Kata Azhan dia sangat bersyukur kerana mendapat peluang meraih anugerah di DFKL2019 dan beranggapan ia adalah kesan 'tempias' drama bersiri Nur.

"Saya menang bukan sebab Azhan Rani popular," katanya.

Benci pada watak saja

Bagaimanapun kata Azhan dia tetap menghargai anugerah tersebut dan berbesar hati bercakap bagi pihak pelakon yang berbakat namun kekurangan 'pakej' yang dikehendaki penerbit.

Majlis DFKL2019 yang melabuhkan tirainya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya itu menyaksikan drama Nur membolot sebanyak enam anugerah.

Selain antagonis pilihan, drama terbitan Radius One itu membawa pulang anugerah bagi kategori pengarah pilihan yang dimenangi Shahrulezad, pasangan pilihan (Syafiq Kyle dan Amyra Rosli), penulis skrip pilihan (Shahrulezad) dan aktor pilihan (Syafiq).

Mengulas kejayaannya itu, Azhan, 43, berkata kebolehannya melakonkan watak sebagai lelaki jahat ada kalanya menyukarkan dia diberi kepercayaan untuk menjayakan watak protagonis.


Baca Kalau pentingkan rupa, tukar uji bakat jadi 'uji helok'


“Nak lepas daripada watak antagonis sampai makan masa bertahun, baru orang nak percaya bagi saya pegang watak komedi, geng surau,” katanya.

Bagaimanapun, Azhan berkata, dia amat bersyukur kerana setakat ini belum ada peminat yang membenci kerana watak yang dibawakannya.

“Ramai benci karakter, tapi akhirnya mahu juga berswafoto bersama sebab dia suka pelakon, benci hanya pada karakter. Selfie tetap selfie,” ujarnya.

Sementara itu, ditanya mengenai drama Nur 2, Azhan berkata, dia sebenarnya keberatan untuk menerima tawaran berlakon drama susulan kepada Nur itu.

“Saya cadangkan kalau boleh jangan disambung. Biar keistimewaan terletak pada Nur.

“Saya harap lepas kemenangan ni tiada lagi Nur 3, sebab kasihan pengarah dan penerbit yang terpaksa duduk dalam kepompong sama.

“Biar Nur jadi kenangan manis, kita kena teruskan kehidupan dan berlakon dalam naskhah lain pula,” katanya.

Lihat Komen
ADS