Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Di tangan Norish ada 5 skrip filem boleh bikin nangis

Sekalipun kelibatnya tidak kelihatan dalam radar seni selama lima tahun, pelakon Norish Karman berkata keadaan itu tidak bermaksud dia duduk bergoyang kaki saja.

Kata Norish, daripada membiarkan masa terbuang begitu saja, dia mengisinya dengan menggarap idea kreatif untuk diterjermahkan menjadi skrip filem.

Menurutnya, ilhamnya itu dicetuskan oleh persekitaran kehidupan dilalui masyarakat seharian.

“Dalam masa lima tahun tu saya buat skrip. Kalau saya tak masuk TV tu tidak bermakna kehidupan saya sebagai anak seni terhenti.

“Memang sejak dari dulu saya suka hasilkan sesuatu yang boleh bawa kebaikan pada masyarakat. Tu sebabnya saya babitkan diri dalam aktiviti penulisan skrip.

“Saya nak hasilkan filem yang banyak bagi mesej positif dan mendidik penonton macam drama-drama pernah dilakonkan sebelum ini,” katanya.

Menurut pelakon drama Mahligai Itu Milikku berkenaan, setakat ini dia sudah menukangi lima skrip untuk layar lebar.

Orang kata rindu

Norish juga yakin, suatu hari nanti karya-karyanya itu mampu menggegarkan dunia perfileman yang sering mengadaptasi karya daripada novel-novel terlaris di pasaran.

“Ni saya hasilkan skrip sendiri. Kalau buat filem daripada adaptasi novel, mungkin payah nak kaitkan kehidupan masyarakat dengan dunia sebenar.

“Saya pasti, kelima-lima skrip itu boleh mendatangkan tangis, kebencian dan kemarahan yang berkaitan kehidupan biasa dilalui masyarakat," katanya.

Menurut Norish pengalamannya banyak bergaul dengan masyarakat marhaen dapat diterjemahkan dengan berkesan melalui skrip filem yang dihasilkannya.

Bagaimanapun, menurut Norish, siapnya skrip tersebut tidak bermakna laluan untuk proses yang seterusnya terbentang luas.

Kini katanya dia berdepan beberapa kekangan terutama untuk mencari pembiaya yang sudi membantunya menterjemah skrip berkenaan menjadi filem.

Pada masa sama, Norish berkata, dia mengambil keputusan untuk kembali aktif dalam dunia seni selepas tidur tapa (hibernate) beberapa ketika.

Katanya kerinduan diluah peminat kepadanya mendorong dia memilih untuk tidak lagi berada di sebalik tabir.

“Bila orang kata rindu, tolonglah datang balik... itu macam doa. Kalau ada kata perkara yang tak indah tu, tak apalah, saya bukan malaikat,” katanya.

Untuk rekod, Norish sebelum ini mengambil keputusan untuk berehat buat sementara waktu bagi memastikan keempat-empat orang anaknya membesar dengan didikan agama.    

Lihat Komen
ADS